25 April 2013

Isu Mat Taib: Pas tak kecil hati dengan Karpal

14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Pas tidak "berkecil hati" dengan kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh semalam bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib tidak layak menyertai parti itu.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, beliau melihat Karpal hanya memberi pandangan peribadi mengenai perkembangan terbaru itu.

Beliau berkata, secara umumnya rakyat mengetahui Pas adalah sebuah parti yang mengamalkan sikap terbuka dan menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama untuk membawa perubahan kerajaan peringkat pusat.

"Itu pandangan peribadi beliau, kita pun tak berkecil hati dengan pandangan beliau," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Karpal dipetik berkata,  Muhammad atau Mat Taib tidak layak menyertai Pas apatah lagi bersama Pakatan Rakyat (PR).

Beliau juga berkata, pemimpin yang mempunyai rekod lampau yang buruk tidak layak diterima sebagai ahli komponen parti PR.

"Itu pandangan peribadi saya kerana rekod dia (Mat Taib) tidak baik sepanjang bersama Barisan Nasional (BN).

"Hanya orang yang ada rekod baik sahaja harus diterima di mana-mana parti termasuk BN mahupun PR," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, walaupun adanya perbezaan pendapat di kalangan pemimpin PR, ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada perikatan tersebut.

"Walaupun ada beza pendapat, tapi kalau Karpal pergi program kita, dia tetap disambut baik," katanya lagi.

Sinar/-

Tiada ulasan: