14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Kawasan Parlimen Larut pula tidak kurang ‘panasnya’ menyaksikan pertembungan dua nama besar cukup dikenali ramai.
Pas mempertaruhkan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Fauzi Shaari manakala Barisan Nasional (BN) terus memberikan kepercayaan kepada Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin.
Diletakkan dalam kawasan majoriti Melayu, kedua-duanya berhadapan cabaran getir untuk menang pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.
Pas berhadapan dengan sebilangan ahlinya yang tidak berpuas hati dengan pencalonan beberapa nama dan meminggirkan Yang Dipertua Pas Kawasan Larut, Dr Mohd Dhari Othman sebagai calon.
BN turut meminggirkan nama Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar bagi mempertahankan Dun Kubu Gajah.
Bagi Fauzi, keyakinan untuk PR menang hatrik 4-0 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mungkin bakal jadi kenyataan dan kejutan besar.
Beliau berkata, perkara tersebut dijangka boleh dicapai hasil sokongan padu pengundi-pengundi bukan sahaja di Parlimen Larut tetapi tiga lagi Dun iaitu Selama, Batu Kurau dan Kubu Gajah.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen sebelum menjelang hari mengundi, semua calon PR bekerja keras, aktif dan sangat agresif.
Fauzi berkata, aktiviti ziarah ke kampung-kampung, pasar malam, rumah penduduk sudah menjadi kemestian.
“Kita akan tetap teruskan aktiviti ini kerana melalui cara tersebut kita dapat selami masalah sebenar penduduk kampung, tambahan pula Parlimen Larut ini luas.
“Dalam setiap kempen, kita tetap teruskan usaha sebarkan kebaikan dan pastikan kali ini kemenangan di pihak PR,” katanya.
Sementara itu, Hamzah tetap yakin BN akan menawan Parlimen Larut dan tiga kerusi Dun pada PRU13 hasil usaha yang dilakukan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita yakin akan dapat kekalkan kedudukan di Parlimen Larut, tambahan pula pelbagai perubahan telah dapat dilaksanakan sekali gus menunjukkan bahawa semua janji yang diberikan ditepati kerajaan.
“Keseluruhan manifesto yang dibawa oleh BN sebenarnya adalah sebagai satu agenda untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks berkenaan adalah sangat diharapkan agar rakyat dapat memahami bahawa hanya kerajaan BN yang dapat dan boleh menepati semua janji sekali gus mampu memimpin negara ke arah kebaikan.
“Oleh itu, kita yang mewakili BN melibatkan semua peringkat di Parlimen Larut berjanji akan bekerjasama dalam apa juga tindakan.
“Kita akan saling membantu, berbincang dan memberikan idea-idea demi kebaikan bersama,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan