25 April 2013

Padah lintas lebuh raya

14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PUCHONG - Tindakan seorang warga asing melintas Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), dekat sini, membawa padah apabila mangsa dirempuh sebuah lori, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa, Zamsunkhul, 23, warga Myanmar dikatakan melintas di Kilometer 21.0 dari arah Putrajaya menghala ke Damansara.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba melintas dari arah kiri ke kanan laluan.
Menurutnya, sebuah lori yang kebetulan melalui lebuh raya terlanggar mangsa di bucu sebelah kanan kenderaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.13 pagi selepas lima jam mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Serdang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 0169055595 untuk membantu siasatan.

Sinar/-

Tiada ulasan: