25 April 2013

Wanita Umno hilang dari belakang tabir dalam PRU13

14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kamilia (kanan) berhadapan kesukaran untuk menerangkan punca beliau mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas menentang partinya sendiri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR — Dalam setiap pilihan raya sejak sebelum Merdeka, Wanita Umno adalah tulang belakang jentera parti, merupakan wira belakang tabir yang memasak, ziarah pintu ke pintu dengan jaket merah Skuad Sayang dan melawat orang sakit dan miskin.

Mereka ini adalah pekerja parti yang bekerja diam-diam tanpa sebarang kontroversi, ini sebelum ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terpalit dengan dakwaan salah guna dana awam bersama keluarganya dan terbaru timbalan Datuk Kamilia Ibrahim dipecat parti selepas bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya 5 Mei depan.
“Walau apa pun peluang Kamilia (peluangnya tidak kelihatan baik buat saya), pergelutan yang berlaku menunjukkan berlaku kurang perundingan antara Wanita Umno dan orang dalam Umno yang membuat keputusan,” kata pengkaji Flinders University, Dahlia Martin kepada The Malaysian Insider.
“Terdapat janji kosong dengan cadangan lebih banyak wanita dalam politik, tetapi tiada langkah yang berani diambil. Ia menggambarkan seperti apa yang saya tulis dahulu (sebelum ini), wanita boleh didekati sebagai pengundi tetapi tidak boleh membuat kata putus.  Kuota perlu dibesarkan, Wanita PBB memberikan sokongan,” tambahnya.
Umno berkata mereka telah menawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)Bukit Chandan di Perak kepada Kamilia pada malam penamaan calon Sabtu lalu, tetapi beliau sebaliknya membuat kejuta kepada Umno dan bertanding  sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar.
“Bergantung kepada siapa anda percaya, sama ada ia dilihat baik atau tidak hubungan antara Wanita Umno dan Majlis Tertinggi,” kata Dahlia.
Wanita Umno suatu ketika dahulu terkenal dengan pelapis dan banyak menghasilkan pemimpin wanita hebat seperti arwah Tan Sri Aishah Ghani yang berkarisma dan sangat tajam pemikirannya, Tan Sri Rafidah Aziz yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Napsiah Omar serta ramai lagi.
Sudah semestinya, pemimpin-pemimpin pernah berlawan antara satu sama lain dan membuat pakatan antara mereka tetapi sayap parti tersebut masih tetap bersatu untuk bekerja bagi memastikan kemenangan parti pada setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.
Tetapi tidak pernah dalam sejarah parti ada pemimpin meninggalkan parti untuk bertanding sebagai calon bebas, kata pemerhati.
“Persoalannya, adakah Kamilia itu benar-benar calon ‘bebas’ ataupun sekadar membalas dendam kepada partinya. Jika ya, kepentingan pengundi telah diabaikan. Jika dia benar-benar calon ‘bebas’, kita pasti sudah mendengar tentangnya sebelum penamaan calon lagi,” kata  pemerhati politik dan penulis Juana Jaafar.
Bahkan, Kamilia sendiri berhadapan kesukaran untuk menerangkan punca beliau mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas menentang partinya sendiri.
“Langkah yang diambil oleh BN untuk meminggirkan saya dan wanita lain dalam mengejutkan saya. Saya kecewa kerana tiada pengiktirafan yang betul dalam Wanita Umno,” kata beliau dipetik dari akhbar bahasa Melayu Sinar Harian.
Untuk rekod, BN berkata bahawa 11 peratus daripada calon-calon pada Pilihan Raya 2013 adalah wanita walaupun kebanyakan pemimpin tertinggi wanita tidak bertanding. Terdapat 168 calon wanita bertanding pada pilihan raya 5 Mei ini, peningkatan 40 peratus berbanding dengan 120 yang bertanding pada tahun 2008 lalu.
“Sayap wanita, Jentera Jalinan Rakyat (JR) bekerja di semua peringkat dengan komitmen sepenuhnya. Walaupun cabaran dihadapi, dan tidak semua orang menjadi calon, mereka setia kepada parti, bersabar dan tidak mementingkan diri sendiri,”kata Shahrizat ketika mengulas keputusan Kamilia itu pada hujung minggu lalu.
Walau bagaimanapun, Shahrizat tidak memandang ringan insiden berlaku melibatkan Kamilia tersebut, Shahrizat telah berusaha mengerah ahli-ahlinya berkempen untuk BN di Kuala Kangsar bagi mengalahkan timbalannya dan juga turut membantu Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak untuk merayu undi pada esok.
The Malaysian Insider/-

Tiada ulasan: