25 April 2013

PAS beri 48 jam untuk Teng minta maaf

14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dakwaan Teng itu merupakan satu fitnah jahat dan berbaur hasutan.
KUALA LUMPUR: PAS memberi  48 jam untuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow meminta maaf kerana mengaitkan Pakatan Rakyat dengan insiden letupan bom di bilik gerakan BN Nibong Tebal kelmarin.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dakwaan Teng itu merupakan satu fitnah jahat dan berbaur hasutan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin tertinggi BN negeri.
“Fitnah yang dibuat Teng adalah jelas untuk memberi imej buruk kepada Pakatan Rakyat dan merupakan strategi publisiti murahan untuk meraih undi kepada BN,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Calon PAS Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap kenyataan Teng seperti yang disiarkan dalam laporan FMT semalam.
“Kami juga memberi masa 48 jam kepada Teng untuk menark balik tuduhan tersebut dan meminta maaf kepada Pakatan dan semua rakyat Malaysia.
“Sekiranya beliau ingkar, saya akan berbincang dengan kepimpinan Pakatan Rakyat lain untuk mengambil tindakan undang-undang di mahkamah,” tegas Mahfuz.
Teng dalam sidang media di George Town semalam menyalahkan Pakatan Rakyat sebagai dalang serangan terbabit dan cuba mensabotaj perjalanan kempen BN.
Petugas keselamatan cedera
Insiden terbabit mengakibatkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan kerana terkena bahan letupan.
Ceramah yang dihadiri 3,000 orang penyokong BN itu bertukar kecoh selepas terkejut mendengar satu letupan di kawasan longgokan sampah di belakang pentas.
Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah.
Polis turut menemui satu lagi bungkusan bahan letupan pada malam yang sama, dipercayai hasil buatan profesional dan berjaya diletupkan sejam kemudian.
Pada masa yang sama, PAS menurut Mahfuz turut mengecam keras dan mengutuk tindakan ganas malam kelmarin serta kebakaran yang berpunca dari bom petrol yang dilempar ke bilik gerakan BN di Sekinchan, Selangor.
Katanya, PAS percaya ini merupakan satu tindakan provokasi oleh pihak yang sengaja mahu menimbulkan ketakutan dikalangan pengundi menjelang pilihan raya umum (PRU) 13.
FMT/-

Tiada ulasan: