31 July 2013

Rompakan terbesar permata

22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

CANNES 30 Julai - Seorang perompak melarikan barangan kemas bernilai lebih AS$136 juta (RM440 juta) dalam rompakan bersenjata pada satu pameran di sebuah hotel mewah di French Riviera, tenggara Perancis, kelmarin.

Pejabat pendakwa raya di bandar berhampiran, Grasse mengeluarkan angka itu, semalam berdasarkan satu inventori barangan yang dicuri pada pameran barangan kemas yang diadakan di hotel mewah Carlton.
Jumlah itu adalah dua kali ganda lebih besar daripada anggaran awal yang diberikan oleh media tempatan iaitu kira-kira AS$53 juta (RM172 juta), sekali gus menjadi rompakan permata terbesar di negara ini.

Rompakan bersenjata itu dilakukan tengah hari kelmarin oleh seorang perompak yang menggunakan pistol automatik dan memakai topi serta menutup muka.

Dia bertindak mengugut pengawal keselamatan dan jurujual sebelum melarikan diri bersama beg bimbit mengandungi 72 barangan kemas, termasuk batu permata, cincin, loket dan anting-anting bertatah berlian daripada satu koleksi milik pakar berlian Leviev.

Menurut seorang jurucakap daripada pejabat pendakwa raya, lelaki itu memasuki bilik pameran itu melalui pintu kaca yang sepatutnya telah diperkukuhkan
.
Siasatan awal turut mendapati perompak itu tercicir beberapa barangan kemas ketika melarikan diri melalui pintu lain. - AGENSI

No comments: