31 Julai 2013

Penyokong Mursi berhimpun

22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KAHERAH 30 Julai - Beribu-ribu penyokong bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi berarak menuju ke ibu pejabat keselamatan di sini, lewat semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan tercetusnya pertempuran baharu.

Perhimpunan itu diadakan, meskipun Majlis Pertahanan Kebangsaan memberi amaran akan mengambil 'tindakan tegas' ke atas penunjuk perasaan jika mereka melampaui batas.

Ketegangan memuncak di Mesir selepas pasukan keselamatan Mesir bertindak menembak mati berpuluh-puluh penyokong Mursi ketika mereka mengadakan tunjuk perasaan di Kaherah pada Sabtu lalu.

Beribu-ribu penyokong Mursi dilaporkan mula berhimpun di Masjid Rabaa al-Adawiya pada kira-kira pukul 11 malam tadi (5 pagi tadi waktu Malaysia) selepas berbuka puasa.

Kumpulan itu bergerak dari Masjid Rabaa al-Adawiya menuju ke bangunan Kementerian Dalam Negeri dan dua bangunan keselamatan sambil melaungkan slogan anti-tentera.

Satu pergerakan Islam yang dikenali sebagai Perikatan Anti-Rampasan Kuasa yang turut menentang penggulingan Mursi turut menggesa pengikutnya mengadakan perhimpunan besar-besaran, hari ini.

"Kami seru berjuta-juta rakyat Mesir untuk turun di bawah nama 'Syahid akibat Rampasan Kuasa' hari ini," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan.

Gesaan itu meningkatkan kemungkinan tercetusnya konfrontasi terbaharu selepas Majlis Pertahanan Kebangsaan turut mengeluarkan amaran, semalam bahawa penunjuk perasaan akan berdepan tindakan kekerasan jika mereka melanggar undang-undang. - AFP



Tiada ulasan: