31 July 2013

PAS persoal pengendalian petisyen pilihan raya

22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen dikemukakan oleh PAS dengan menggunakan alasan dan denda yang sama.

PAS memfailkan keseluruhan 16 petisyen di seluruh negara dan 11 darinya telah ditolak oleh mahkamah.

Tiga lagi belum disebut di mahkamah adalah bagi kawasan Nusa Jaya dan Gambir di Johor, Kelawang, Negeri Sembilan sementara dua kawasan di Terengganu Hulu Besut dan Kuala Berang keputusan akan diperolehi esok.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah yang dilihat sebagai membelakangkan proses demokrasi.

"Kita kesal cara pengendalian petisyen yang berjalan di mahkamah, 16 petisyen yang dikemukakan oleh PAS dan 11 darinya telah ditolak dengan alasan serta denda yang sama.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata kalau tidak puas hati dengan keputusan boleh bawa ke mahkamah untuk keadilan, tetapi bila dibawa kita melihat ia tidak dikendalikan sepertimana yang kita harapkan," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Malah katanya lagi, keputusan tersebut juga dilihat sebagai ada arahan dari pihak tertentu.

"Kita juga melihat keputusan tersebut seperti mendapat arahan dari pihak tertentu kerana alasan sama termasuk juga kos yang diarahkan juga amat luar biasa," sambung beliau.

Tutup penyelewengan?

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu keputusan tersebut seperti sebagai usaha menggunakan mahkamah untuk menutup segala penyelewengan yang berlaku pada pilihan raya yang lepas.

Katanya, kerajaan tidak boleh salahkan sesiapa jika rakyat mempunyai satu persepsi negetif terhadap kredibiliti mahkamah yang dilihat tidak memihak kepada pihak yang mahukan keadilan mengikut saluran demokrasi yang betul.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub melahirkan kebimbangan tindakan tersebut akan memberi ruang kepada rakyat untuk menuntut keadilan mengikut cara mereka sendiri.

"Kita tuntut keadilan melalui proses demokrasi yang betul tetapi kerajaan menutup ruang tersebut.

"Saya bimbang dengan keputusan ini rakyat akan bangkit menuntut keadilan mengikut saluruan mereka sendiri, kita tidak mahu negara ini menjadi seperti negara-negara yang lain," kata Salahuddin.

Sementara itu PAS akan menghantar satu memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong dalam masa terdekat berhubungan kedudukan Pengerusi SPR agar perlantikannya dikaji balik serta pendedahan penyelewengan yang berlaku di dalam pilihanraya yang lepas.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli, Peguam Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang), Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja).

Harakahdaily/-

No comments: