31 Julai 2013

Himpunan bantah kudeta, bebas Morsi masuk hari ke-28

22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,30 Jul 2013

(Penyokong Morsi berarak sambil membawa kain kafan di Matrouh bagi membantah pembunuhan rakyat yang berlaku Sabtu lalu)

MESIR: Hari ini, tanggal 30 Julai 2013, adalah hari ke 28 para penyokong Presiden Mesir yang sah Dr Muhammad Morsi, berkampung di seluruh Kaherah khususnya Medan Raba'ah Adawiyah yang menjadi pusat himpunan.

Hari ini juga bermakna hari ke-21 mereka bersahur, berpuasa, berbuka, berterawih di medan terbuka itu bersama jutaan yang lain.

Matlamat himpunan ini hanya satu, iaitu mempertahan legitimasi mereka dengan membantah rampasan kuasa oleh tentera, dan mendesak Morsi dibebaskan.

Mereka berhimpun secara aman, tanpa senjata malah difahamkan suasana himpunan di Raba'ah berlangsung penuh kasih sayang.

Suasana kasih sayang ini turut digambarkan seorang peserta himpunan melalui nukilan bait puisinya bertajuk "Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah".



  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Penunjuk perasan berbahagi-bahagi juadah berbuka puasa sesama mereka dan menyuapkan suapan ke mulut orang lain bimbang andai ada di antara mereka yang masih belum berbuka.
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Seorang lelaki membeli sebotol air mineral dan minum hanya seteguk cuma dan mengagihkan botol kepada orang lain bagi menghilangkan dahaga mereka.
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Permandangan mereka ketika solat tidak ubah seperti di Masjidil Haram yang sangat ramai jemaahnya sehingga tiada laluan untuk berjalan, dan apabila pemandangan ini dilihat dari kaca televisyen, mereka akan katakan "Mereka hanya kekurangan sebuah Ka'bah untuk melakukan tawaf"
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Mereka mencari sesiapa yang memerlukan untuk diberikan sedekah padanya, dan mereka meletakkan wang di tempat pengumpulan wang tanpa bimbang, dan apabila hendak dibahagikan, wangnya bertambah dan tidak berkurang.
  • Hanya di Medan Rabiatul Adawiyah, Peniaga-peniaga gerai meninggalkan gerai mereka terbuka luas dan beredar untuk tidur sambil mengatakan "Sesiapa yang mahukan sesuatu, ambil dan letakkan bayarannya di dalam laci, dan MEREKA kembali dengan hasilnya yang tetap cukup.


480 terkorban 8000 cedera


Dalam pada itu, suasana himpunan aman penuh kasih sayang ini dicemari tindakan ganas pihak tentera perampas kuasa yang menembak peserta himpunan.

Agensi Berita RNN melaporkan seramai 480 orang direkodkan telah terkorban manakala 8000 lagi cedera sejak rampasan kuasa berlaku.

Selain itu, angka tangkapan juga mencecah 1500 orang dan 9 saluran media telah ditutup oleh pihak tentera dipercayai mengelak laporan suasana himpunan penyokong Morsi disebar kepada dunia luar.

Dua insiden kekejaman tentera yang tidak boleh dilupakan berlaku di Dataran Raba'ah iaitu tragedi "Subuh berdarah" 9 Julai lalu dan terbaru menjelang sahur pada hari Sabtu 27 Julai lalu.

Tragedi Subuh berdarah di hadapan Bangunan Pengawal Republik 9 Julai lalu menyaksikan lebih 50 penyokong Morsi terkorban, manakala lebih 300 cedera ditembak peluru hidup ketika rakaat kedua solat Subuh.

27 Julai lalu pula, insiden tembakan di hadapan Universiti Azhar, Jalan Austorad, berhampiran Kubur Anwar Sadat itu menyaksikan lebih 120 penyokong Morsi terkorban manakala ribuan lagi cedera.

Pihak tentera pimpinan Abdul Fatah Al-Sisi dijangka akan meneruskan tindakan kekerasan ini selepas mendakwa telah diberi mandat oleh rakyat Mesir untuk berbuat demikian melalui himpunan di Medan Tahrir pada Jumaat lalu.

Jika ianya benar, maka Mesir akan terus bermandi darah apabila penyokong Morsi tetap dengan pendirian tidak akan berganjak dari medan himpunan, manakala pihak tentera bertegas tetap akan menyuraikan himpunan walau dengan apa cara sekalipun.

Tiada ulasan: