31 Julai 2013

Petisyen: BN kekal di Parlimen Pulai, Tebrau & PAS di DUN Puteri Wangsa

22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Mahkamah Pilihan Raya Johor Bahru hari ini mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pulai dan Parlimen Tebrau selepas menolak petisyen yang difailkan PAS dan PKR.
Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham turut mengekalkan kemenangan PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa selepas menolak petisyen yang difailkan BN.
Menolak semua petisyen itu dengan kos, Abraham menyatakan semua pempetisyen gagal mematuhi peraturan penyampaian, selain kandungannya yang terlalu umum.
Bagi Parlimen Pulai, Abraham mengarahkan pempetisyen membayar kos RM10,000 kepada responden pertama, Ahli Parlimennya, Datuk Nur Jazlan Mohamed manakala RM25,000 masing-masing kepada responden kedua, pegawai pengurus bahagian pilihan raya Parlimen Pulai dan ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagi Parlimen Tebrau, pempetisyen diarah membayar kos RM10,000 kepada responden pertama, Ahli Parlimennya, Khoo Soo Seang manakala RM25,000 masing-masing kepada responden kedua, pegawai pengurus bahagian pilihan raya Parlimen Tebrau dan ketiga, SPR.
Pada pilihan raya umum lalu, Nur Jazlan menewaskan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dengan majoriti 3,226 undi manakala Khoo menewaskan calon PKR, Choong Shiau Yoon dengan 1,767 undi.
Mahkamah turut mengarahkan pempetisyen yang difailkan BN membayar kos RM10,000 kepada responden pertama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Abdullah Hussin manakala RM25,000 masing-masing kepada responden kedua, pegawai pengurus bahagian pilihan raya DUN Puteri Wangsa dan ketiga, SPR.
Abdullah yang mewakili PAS menewaskan calon BN, M Soorianarayanan dan Bebas dengan majoriti 3,469 undi.
BN pada ketiga-tiga prosiding petisyen itu diwakili peguam Syed Faizal Syed Abdullah dan Mohd Reza Abu Hassan.
PAS pula diwakili peguam Rohana Ramli dan Firdaus Masod, PKR diwakili peguam Ranjit Singh dan Razlan Hadri manakala Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy mewakili responden kedua dan ketiga. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa yg saya faham, semua petisyen ditolak atas masalah teknikal. Macam ni baik tak payah buat petisyen.