31 Julai 2013

Nasrudin: Apa untung nak bunuh karakter saya?


22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


1. TERDAPAT satu artikel di portal berita yang entah dari siapa tetapi menggunakan nama Mohamad Abdullah, melemparkan fitnah kepada saya dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Penulis mengemukakan surat terbuka kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kononnya saya mendapat dana dari Kontraktor Lynas.

Penulis pun sebut "dimaklumkan ...." soalnya siapa yang memaklumkan perkara itu kepada beliau?



2. Saya telah mengisytiharkan harta. Saya menyertai pilihanraya baru-baru ini dengan wang sejumlah yang telah saya isytiharkan sebelum dibantu oleh rakan-rakan.

Wang deposit pilihan raya sejumlah RM15K tu pun dibayar oleh YDP Pas Kawasan.

Jika tidak, hilang kelayakkan saya untuk bertanding.

3. Selepas pilihan raya, saya mengerjakan umrah atas pembiayaan An Nuur Travel kerana dalam masa yang sama saya bertugas sebagai mutawwif kepada ahli jamaah An Nuur Travel.

Ertinya kehidupan saya sebelum dan selepas pilihan raya, dari dulu sehingga sekarang adalah serupa.
[Cuma akan datang terasa juga nak pakai MPV sebuah sebab anak sudah enam orang, sudah tidak muat kami nak naik berlapan sumbat masuk dalam kereta. Maklumlah Ahli Parlimen dapat AP kan, hu hu.... tengoklah macam mana , sebab Hyundai Trajet yang saya guna tu insya-ALLAH saya akan wakafkan buat perjuangan ini dan buat masa ini akan dijadikan kenderaan rasmi Pusat Komuniti Parlimen Temerloh].

4. Saya sangat mengalu-alukan jika benar Lynas nak bagi dana kepada saya, silakan... saya terima dengan terbuka, [pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong Lynas] kerana kami sangat memerlukan wang bagi membantu rakyat di Temerloh.

Demikian juga kalau ada orang-orang UMNO mahu menghulurkan sumbangan, kami terima dengan terbuka. Temerloh mempunyai berpuluh pusat pengajian Islam, ramai ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang tidak bernasib baik.

[Pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong UMNO]. Kami juga menerima wang "riba" yang dihendak dikeluarkan dari akaun masing-masing kerana banyak terdapat jalan-jalan kecil di kampung yang perlu diturap, tetapi kami tiada wang dan peruntukan untuk membantu rakyat.

5. Sebagaimana juga saya selaku Ahli Parlimen, dibayar gaji oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN, saya terima gaji itu bukan bermakna saya sokong pimpinan Umno.

6. Buat masa ini saya ke hulu dan ke hilir mencari dana kebajikan rakyat Temerloh.

Rata masjid dan surau saya jelajah menyampaikan tazkirah sambil buka peluang kepada orang ramai berbakti bagi mendapatkan sumbangan untuk Dana Kebajikan Temerloh.

Saya menulis dan jual buku untuk isi poket. Prinsip saya, ada duit insya-ALLAH kita agih kepada mereka yang memerlukan di Parlimen Temerloh ini dan jika tiada duit, kita duduk diam-diam, jangan merungut sebaliknya banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT. Mohon murahkan rezeki.

7. Tidak ketinggalan api fitnah turut dipercikkan kepada sahabat saya, Nik Mohd Abduh sebagai seorang yang mengamalkan gaya hidup mewah.

Sedang siapa jua yang rapat dan mengenali beliau akan mengetahui bahawa, sehingga kini beliau yang telah berkeluarga dan mempunyai lapan cahaya mata, masih tinggal sebumbung di teratak sederhana bersama ayahandanya, Nik Abdul Aziz.

8. Kebiasaannya bagi pasangan anak dan menantu, apabila mereka telah mempunyai keluarga sendiri dan beranak pinak, mereka akan mencari kediaman mereka sendiri secara berasingan.

Banyak faktor yang mendorong sedemikian tetapi tidak kepada Nik Mohd Abduh.

Saya masih ingat kata-kata beliau kepada saya apabila saya bertaaruf secara tidak langsung sebagai seorang sahabat seperjuangan.

Beliau menyebut : "Semua orang berbangga dengan ayah ana sebagai Tok Guru, sedang Tok Guru tu ada dalam rumah ana, macam mana ana nak keluar tinggal di tempat lain! .... Ana nak didik anak-anak ana supaya melihat sendiri secara praktikal cara hidup datuknya seorang tok guru.

Anak ana sedang membesar, ana pula banyak masa di luar... elok sangatlah ana tinggal bersama ayah untuk memberi peluang kepada anak-anak terdidik dengan cara hidup seorang ulamak besar bergelar Tok Guru sebagaimana yang pernah ana alami semasa kecil-kecil dulu."

9. Kenyataan beliau memang menimbulkan rasa cemburu di hati kita yang tak ada Tok Guru dalam rumah kita kecuali televisyen dan komputer yang banyak didampingi oleh anak-anak kita.

10. Apa yang saya nak sebut ialah bagaimana mereka memfitnah kononnya Nik Mohd Abduh mengamalkan gaya hidup mewah kalau tempat tinggal pun masih berkongsi rumah dengan orang tua.

Sementara YB lain berlumba-lumba mendirikan rumah sebesar mahligai.

Kenapa penulis tidak menimbulkan isu pemimpin yang jelas terang lagi berlampu hidup dalam kemewahan atau sememangnya pena diasah tajam untuk mensasarkan Nik Mohd Abduh sahaja?

11. Kononnya itu adalah surat terbuka buat Nik Abdul Aziz tetapi realitinya sedang memfitnah ahli keluarga Tuan Guru sendiri sedang anakanda beliau yang dituduh mengamalkan kehidupan mewah tinggal serumah dengan beliau.

12. Kelihatan permainan semakin menarik selepas ini. 'Scud' jenis apa pula akan dilancarkan selepas ini kepada saya dan rakan-rakan termasuk DPPM.

Sekali lagi saya ambil pendekat berdoa kepada ALLAH SWT supaya mereka insaf dan segera berhenti dari menabur fitnah dan membunuh karakter sedemikian rupa.

Apa untung nak bunuh karakter saya? Saya hanya insan biasa .

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda Pas
Ahli Parlimen Temerloh

*Pendapat ini dipetik daripada Facebook (FB) Dewan Pemuda Pas Malaysia

Tiada ulasan: