31 Julai 2013

Siasat bagaimana rakyat mudah miliki senjata api

22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,31 Jul 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak PDRM menyiasat sedalam mungkin punca pemilikan senjata api dengan mudah, apakah ia dari rakyat di negara ini sendiri atau dibawa masuk dari luar.


“Apakah senjata api menjadi suatu industri gelap dilakukan di kawasan hitam, dimiliki sekumpulan  kongsi gelap serta memiliki rangkaian di seluruh negara?” tanya Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Katanya, persoalan itu perlu dijawab dengan kerajaan perlu berusaha menumpaskan jenayah ini sehingga ke akar umbi agar tiada lagi mangsa ditembak selepas ini.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kebimbangan atas kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini melibatkan jenayah bersenjata api. Insiden terbaharu berlaku apabila pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian Hussain Ahmad Najadi mati ditempat kejadian setelah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon jam 2 petang semalam. Isterinya pula cedera parah ditembak pada kejadian yang sama.

Dua hari lepas, pengerusi NGO MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera parah ditembak dari jarak dekat oleh individu yang tidak dikenali. Insiden ini berlaku pada tempoh yang berdekatan dan dilakukan melalui modus operandi yang sama.

Beberapa minggu yang lalu, dua orang guru mati ditembak melalui insiden yang berasingan juga melalui modus operandi yang sama. Dalam masa yang hampir sama, PDRM menahan dua individu yang didakwa memiliki senjata api yang digunakan untuk disewakan.

Nampaknya kehadiran pasukan peronda polis sudah tidak lagi digeruni penjenayah. Rondaan kerap juga dilihat gagal mematahkan helah dan strategi penjenayah mencari mangsanya.

Kamera litar tertutup atau CCTV seperti tidak berfungsi untuk mematahkan jenayah daripada berlaku.  Polis juga sudah tidak lagi berjaya mewujudkan suasana aman di negara ini sehingga wujudnya insiden jenayah di mana-mana.

Isunya adalah bagaimana kejadian jenayah melibatkan senjata api boleh berlaku begitu mudah di kawasan terbuka, orang ramai serta berlaku di waktu siang sejak kebelakangan ini?

Mengapa penjenayah sudah semakin berani menggugat keselamatan awam dengan melakukan aksi samseng atau kongsi gelap dengan melepaskan tembakan sesuka hati kepada suspek tanpa merasa takut?

DPPM mempersoalkan mengapa senjata api mudah dimiliki, dibawa masuk atau diseludup ke dalam negara dengan begitu mudah?

Apakah pintu sempadan negara sudah bocor diterobos oleh penjenayah licik sehingga gagal dikesan aktiviti penyeludupan senjata api ke negara ini atau adakah industri pembuatan senjata api boleh dibuat dalam negara ini melalui teknologi yang ada pada rakyat negara ini?

Isu pemilikan senjata api mengingatkan rakyat bagaimana insiden sekumpulan pengganas luar menceroboh masuk ke dalam negara di Lahad Datu, memiliki senjata api berat, mengancam penduduk tempatan dan mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Malaysia.

Jika sekumpulan penceroboh dan pengganas membawa senjata berat masuk ke dalam negara gagal dikesan, tidak mustahil pula penjenayah individu atau sekumpulan kecil menerobos masuk ke dalam negara membawa senjata kecil dan ringan.

Insiden ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah bukan lagi sebuah destinasi aman dan selamat bagi rakyatnya. Negara ini sudah mirip menjadi seperti negara Amerika Selatan, Afrika atau sebahagian negara yang sedang berkonflik perang serta memiliki rangkaian kartel dadah terbesar sehingga samseng, kongsi gelap atau pembunuh upahan yang bermaharajalela sesuka hati.

Keamanan negara-negara tersebut ditentukan oleh pengaruh kekuatan kumpulan masing-masing, siapa kuat dia berkuasa dan mereka menentukan keamanan atau huru hara sesebuah kawasan.

DPPM dengan ini mendesak kerajaan agar segera menubuhkan pasukan khas memantau, mencegah serta memerangi jenayah senjata api. Isu ini perlu ditangani serta merta dengan tindakan bersepadu agar insiden ini tidak berulang ke atas mana-mana mangsa lain.

Golongan korporat, usahawan, ahli politik dan profesional paling merasa terancam dengan kejadian ini dan bimbang jika mereka pula menjadi sasaran pula selepas ini.

DPPM juga mendesak PDRM menyiasat sedalam mungkin punca pemilikan senjata api dengan mudah, apakah ia dari rakyat di negara ini sendiri atau dibawa masuk dari luar.

Apakah senjata api menjadi suatu industri gelap dilakukan di kawasan hitam, dimiliki sekumpulan  kongsi gelap serta memiliki rangkaian di seluruh negara?

Persoalan ini perlu dijawab dengan kerajaan perlu berusaha menumpaskan jenayah ini sehingga ke akar umbi agar tiada lagi mangsa ditembak selepas ini.

Tiada ulasan: