04 November 2013

Balu Azizan: Sebar SMS palsu perbuatan tak berakhlak

NONE
30 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Balu kepada Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata beliau kesal dengan penyebaran SMS palsu yang mendakwa beliau menggesa pengundi memilih BN.

Menurutnya, SMS tersebut yang dikesan berlegar di kalangan warga Sungai Limau sejak jam 11 malam tadi mendakwa beliau kesal dengan penghinaan PAS ke atas Allahyarham Azizan.


Katanya, penyebaran SMS tersebut merupakan tindakan tidak berakhlak kerana turut mendakwa PAS terlibat dalam bahan kempen yang menghina Allahyarham Azizan.



"Orang yang buat ini saya harap Allah balas pada dia. Tak berakhlaklah orang yang buat fitnah ini menjatuhkan maruah ibu-bapanya," katanya kepada pemberita sewaktu diminta mengesahkan berita ini.



Menurut Faekah, beliau akan menyerahkan kepada peguamnya untuk menentukan langkah yang perlu diambil berhubung penyebaran SMS itu.



Kiriman SMS berkenaan ditunjukkan kepada wartawan orang seorang penyokong PAS yang mengiringi Faekah ke satu pusat pengundian di SK Bukit Besar.



SMS tersebut antara lainnya mendakwa beliau menyalahkan PAS kerana menghina Allahyarham Azizan – dengan menaikkan patung tanpa kaki – yang mencetus kontroversi di Sungai Limau beberapa hari lalu.



"Saya ralat orang PAS sanggup hina arwah Ustaz Azizan dengan naikkan patung potong kaki.



"Saya dan ahli keluarga ajak orang Sungai Limau undi BN," SMS itu dipetik.



Kes penyebaran SMS palsu ini adalah yang keempat berlaku terhadap personaliti Pakatan Rakyat dalam minggu kedua kempen.



Sebelum ini Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, MP Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan bekas MP Jerai Mohd Firdaus Jaafar turut menjadi mangsa insiden yang hampir sama.

Malaysiakini/-

No comments: