04 November 2013

Polis larang sebarang perarakan, konvoi

30 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

YAN - Polis Kedah hari ini melarang sebarang aktiviti perarakan atau konvoi bermotosikal selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau malam ini.
   
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, larangan ini bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini seperti kesesakan lalu lintas atau kemungkinan berlaku kemalangan jalan raya akibat aktiviti terbabit.
   

"Parti yang menang atau kalah, janganlah buat perarakan atau konvoi kerana saya dapati ada konvoi bermotosikal melibatkan kanak-kanak yang sudah tentu menunggang motosikal tanpa lesen.
   
"Malah turut membonceng tanpa memakai topi keledar.. (perbuatan) ini membahayakan nyawa (sendiri) dan orang lain," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini.
   
Mengulas keadaan terkini di kesemua 17 pusat pengundian, Ahmad berkata, beliau telah mengarahkan anggota polis secukupnya bagi mengawal keadaan agar PRK berjalan lancar sehinggalah keputusan diumumkan malam ini.

"Pihak kami dapat tangani sebarang situasi sehingga kini dan akan pastikan PRK ini berakhir dengan aman. Polis ada di mana-mana bagi memantau keadaan agar pengundi dapat keluar mengundi dengan selamat," katanya.
   
Ahmad berkata setakat 2 petang ini, polis menganggarkan sebanyak 61 peratus pengundi Dun Sungai Limau telah menjalankan tanggungjawab memilih calon masing-masing.
   
Beliau turut menasihatkan pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab agar segera berbuat demikian kerana kemungkinan hujan akan turun pada sebelah petang.
   
"Keadaan adalah selamat untuk keluar mengundi, hanya satu laporan kes pergaduhan dilaporkan pagi tadi," katanya sambil menambah polis sedang giat mengesan suspek kes itu untuk tindakan selanjutnya.
   
Ahmad turut memuji pengundi di beberapa kawasan yang memberikan kerjasama kepada polis dengan mematuhi segala arahan di pusat pengundian dan meminta pengundi di kawasan lain berbuat sedemikian.
   
Tambahnya, penyokong mana-mana parti diminta tidak memasuki kawasan penyokong lain bagi mengelak perbalahan atau perkara tidak diingini dan meminta mereka agar menjaga tatatertib sepanjang proses PRK ini berlangsung.  - Bernama

Tiada ulasan: