04 November 2013

Penentuan siapa wakil Dun Sungai Limau hari ini

30 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily
Ustaz Azam bersama ibu (kanan beliau) dan isteri memasuki pusat pembuangan undi jam 8.25 pagi.

JERAI: Seramai 27,222 orang pengundi berdaftar layak membuang undi hari ini bagi maksud Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau.yang berlangsung hari ini.

Mereka bakal memilih sama ada calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat ataupun calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim untuk diangkat sebagai wakil rakyat yang akan mewakili mereka di Dun itu.

Kedua-dua calon sebelum ini diberi tempoh 11 hari untuk berkempen bermula sejurus penamaan calon 23 Oktober lalu dan berakhir secara rasminya jam 12 malam tadi.

Tinjauan Harakahdaily mendapati, kenderaan mula berpusu-pusu masuk ke kawasan Sungai Limau termasuk perayu undi dari luar yang mula mengambil tempat berdekatan pusat-pusat membuang undi.

Cuaca sebelah pagi ini cerah, dan dijangka baik sepanjang hari ini.

Pusat-pusat mengundi akan mula dibuka jam 8.00 pagi ini dan akan ditutup pada jam 5 petang.

Pilihan raya kecil Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Allahyarham Ustaz Azizan memperoleh 13,249 undi menewaskan calon BN Mohd Fazilah Ali yang memperoleh 10,610 undi

No comments: