04 November 2013

Muharram 1435H: Jangan sampai tersasar


30 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Muharram tiba lagi, tahun silih berganti dengan cepatnya, kita semakin menghampiri kiamat. Sudah bersediakah kita dengan bekalan amalan? Dalam persediaan itu jangan pula kita tersalah jalan tersasar dari yang sahih sehingga merugikan.

Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:

Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang muharram?

Ada beberapa perkara yang agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram. Antaranya, hijrah Rasulullah SAW dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.

Hijrah:

Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat-sahabat lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ulAwwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram. 


Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..."

Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.

Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab RA memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah SAW. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.

Doa awal tahun (dan berangkai dengan doa akhir tahun)

Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."


Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'

Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber. Tiada dalam kitab-kitab hadis mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil. Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

Catatan amalan

Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi SAW.
Hadis yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:
1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. -Hadis palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)


Hadis sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :
1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hamba-Nya: 'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba-Ku itu?' Jawab para malaikat: 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.”


(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadith Sahih-
Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.


2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadis Sahih.-


3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)
Usamah bin Zaid RA melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'
Jawab Rasulullah SAW, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-

Benarkan anjuran memperingatkan?

Tentang hadis anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu. Agak pelik apabila lafaz yang sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan syaaban...."
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan zulhijjah...."
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan rejab..."
Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadis palsu, dan jika kita biasa dengan hadis yang sahih, hadis ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadis itu). Sebarkanlah penjelasan tentangnya.

Kesimpulan :
Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadis sahih:
Nabi SAW bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."

(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)

Tiada ulasan: