13 Ogos 2010

KENYATAAN MEDIA : Penduduk Kuala Bagan Tiang bantah projek kolam udang.

2 Ramadhan 1431H.

Sebahagian dari sekitar 200 orang penduduk Kuala Bagan Tiang mempamirkan sepanduk bantahan kepada projek kolam udang di kawasan itu.


Berhubung dengan bantahan penduduk Kuala Bagan Tiang yang terletak dalam DUN Titi Serong yang dianjurkan oleh Jawatan Kuasa Bertindak membantah projek kolam Udang, dengan ini saya suka untuk memberi beberapa kenyataan seperti berikut :-

1. Saya sangat terkejut dengan usaha untuk membangunkan kawasan hutan bakau seluas lebih 500 ekar disekitar Mukim Kuala Bagan Tiang yang pada perkiraan saya adalah milik kerajaan namun saya mendapat maklumat terkini dari Pegawai Daerah Kerian bahawa tanah itu adalah tanah bergeran dan milik perseorangan dengan status untuk pertanian kolam udang.

2. Maklumat tersebut amat jauh berbeza dengan maklumat yang diterima oleh saya dan oleh penduduk Kampung Tersusun Kuala Bagan Tiang yang diterima dari pelbagai pihak termaksuk yang didakwanya dari pejabat Tanah Daerah bahawa tanah tersebut adalah berstatus Rezab untuk Pertempatan Semula Kampung Tersususn (PSKT).

3. Namun begitu setakat ini fakta sebenar yang saya perolehi di mana tanah tersebut di 2 lokasi berasingan yang terletak berdekatan kampung tersusun Kuala Bagan Tiang yang sedia ada dengan jumlah keluasan sekitar 100 ekar (40 ekar + 60 ekar) sudahpun berpindah tangan kepada seorang individu atas nama syarikatnya. Satu lagi tanah seluas 161 hektar yang juga terletak dalam Mukim Bagan Tiang dimiliki oleh Syarikat yang sama.

4. Individu tersebut telah membeli tanah tersebut setelah dilelong oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sejak tahun 2007. Setelah pemilik asal tanah atas nama Serbaneka Sdn. Bhd yang mendapat status pajakan selama 30 tahun sejak tahun 1995 yang gagal untuk memajukan tanah tersebut. Pemilik sekarang memaklumkan kepada saya mereka membelinya dengan keseluruhan tanah dengan tiga geran 40 ekar, 60 ekar dan 161 hektar(386 ekar) dengan harga lelongan RM 8000 seekar.Tempoh pajakan adalah selama 30 tahun sejak 1995 sehingga tahun 2025.

5. Saya melihat bantahan yang dilakukan oleh penduduk Kuala Bagan Tiang yang hampir keseluruhannya adalah nelayan kecil adalah berasas kerana mereka mendakwa kawasan hutan bakau tersebut adalah penampan dari angin dan ancaman tsunami di masa akan datang.

Selain itu mereka adalah dikalangan yang masih tidak berpuas hati dengan pengagihan tanah di Kampung Tersusun yang sedia ada yang dianggap terdapat penyelewengan sehingga banyak lot yang diberikan kepada bukannya penduduk tempatan malah dari luar Perak.

Harapan mereka sangatlah tinggi untuk merlihat anak cucu mereka dapat menikmati tanah yang masih luas dalam pengetahuan mereka adalah rezab untuk PSKT. Saya memahami nelayan kecil seperti mereka mana mampu untuk membeli tanah walaupun sudah puluhan tahun menjadi nelayan kecil.

Mereka juga melihat kepada beberapa projek kolam udang yang telah dimajukan dikawasan berhampiran ternyata mendatangkan berbagai permasalahan kepada penduduk setempat seperti meningkatnya masalah sosial yang dibawa dari luar dan sebagainya.

6. Oleh itu saya suka untuk memberi beberapa cadangan dan saranan kepada pelbagai pihak yang terlibat.

a. Semuanya hendaklah mematuti undang-undang yang sedia dan jangan bertindak diluar dari peraturan yang sedia ada.

b.Saya mencadangkan pihak tuan tanah dan jawatankuasa bertindak hendaklah bersemuka untuk berbincang mengenai jalan keluar kepada projek yang didakwa mengancan kehidupan masyarakat setempat.

c. Saya mendesak pihak Kerajaan Negeri Perak menjadi orang tengah untuk menyelesaikan pertikaian ini bagi mengelakkan sesuatu insiden yang tidak puas hati dan tidak diingini berterusan.

d. Sekiranya ianya dikira sebagai langkah terbaik, Kerajaan negeri hendaklah mengambil tanggung jawab untuk mengambil semua tanah tersebut mengikut Akta Pengambilan Tanah Negara demi untuk kepenting rakyat dinegeri Perak yang masih ramai tidak memiliki tanah sendiri khsusnya di Daerah Kerian Sendiri, khususnya di Mukim Kuala Bagan Tiang. Dengan selogan "rakyat didahulukan", kerajaan negeri mesti mengambil serius untuk menyelesaikan masalah ini.





Kenyataan Media, 12 Ogos 2010

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong, PERAK.

Tiada ulasan: