01 Mac 2012

Jentera Penerangan PAS Johor Mampu Tumbangkan BN

8 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT “Gerak kerja Penerangan PAS Johor seharusnya diperhebat oleh semua lapisan sama ada di cawangan sehinggalah di peringkat negeri”, saranan Ketua Badan Penerangan PAS Johor, Ghazalie Ayob sempena Majlis Taklimat Penerangan PAS Pusat di Dewan Bustanul Arrifin, Parit Bisu, Batu Pahat.

Fokus ini adalah bertujuan supaya keseluruhan rakyat dari pelbagai bangsa serta lapisan masyarakat benar-benar memahami halatuju serta matlamat yang hendak dibawa oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam menghadapi PRU 13.

Berdasarkan pengalaman di negeri –negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, strategi yang terbaik dan berkesan serta banyak pendekatan baru sewajarnya digerakkan oleh Jentera Pilihanraya PAS Johor dalam usaha menyampaikan mesej-mesej Islam memandangkan kadar penerimaan masyarakat Johor semakin subur, ujarnya lagi.

Badan Penerangan PAS Johor turut mengadakan Majlis Pelancaran Risalah Kempen “Barang Naik” dan “Penjualan Saham KFCH & QSR kepada Citygroup Venture Capital (CVC)” yang dirasmikan oleh Dato’ Haji Mahfuz Haji Omar,Naib Presiden PAS.

Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamad dalam ucapanya telah membentangkan secara terperinci keseluruhan isu penjualan saham KFCH & QSR kepada CVC serta isu salah urus tadbir tanah oleh kerajaan Johor melalui KPRJ.

Tepat pada masanya PAS Johor menggandakan usaha dalam mendapatkan mandat dari rakyat untuk menerajui kerajaan dalam usaha mengembalikan hak rakyat yang telah diseleweng oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Sehubungan itu, menurut Timbalan 1 Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat, YB Dato’ Seri Ir. Nizar Jamaluddin, “Kita kena menjaga kepercayaan non-muslim terhadap PAS, jika bukan sekarang, bila lagi? Tunggu berapa kurun pula?”

Mahfuz Omar dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesuatu pergerakan bergantung kepada usaha luar biasa yang dilakukan oleh pergerakan tersebut.

“Tentera yang menang adalah tentera yang menang sebelum berperang atau bertarung, iaitu dia melakukan persediaan dan persiapan sebelum berperang”, jelasnya lagi.

Katanya lagi, tinjauan mendapati bahawa kaum Cina sentiasa memerhati corak gerakan Pakatan Rakyat yang semakin hari menyebabkan mereka semakin kuat member sokongan kepada Pakatan Rakyat termasuk di negeri Johor.

“Pencapaian dan keupayaan Pakatan Rakyat kerap kali diperhati oleh kaum cina, mereka semakin yakin bahawa mandate mentadbir negeri Johor wajar diserahkan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU-13 nanti”, tegas beliau.

Justeru beliau meminta agar jentera penerangan perlu memainkan peranan dalam usaha memastikan lonjakan dan sokongan ini dengan merancang dan melakukan sesuatu.

Antara isu dan masalah yang dibangkitkan oleh beliau adalah berkaitan peluang pekerjaan yang membawa kepada permasalahan berhubung isu sosial anak muda hari ini.

Beliau juga menekankan soal integriti Barisan Nasional yang semakin teruk dan mengharapkan supaya isu berkenaan kenaikan harga barang ini sampai ke seluruh pelusuk kawasan di negeri Johor.

Dalam program yang sama, beliau juga menyatakan beberapa bentuk jalan penyelesaian supaya jentera penerangan PAS dapat menyalurkan maklumat yang berkesan kepada rakyat.

“Kita perlu yakinkan rakyat bahawa PR mampu mempertahankan kedudukan orang melayu, kita adakan penerangan, pertemuan, perbincangan dan sebagainya.

“Lim Guan Eng dah beri jaminan bahawa pimpinan dan ahli DAP tidak akan menjadi Perdana Menteri kerana memahami keadaan dan realiti komposisi rakyat di Malaysia.

“Cuma sekarang , pilihan antara dua darjat, iaitu orang Melayu dari UMNO atau PAS. Adakah anda akan memilih orang yang korupsi atau yang amanah?”, jelas beliau.

Menurut beliau lagi, rakyat perlu merasakan kebimbangan yang sebenar-benarnya dengan kemasukan orang asing yang dibawa oleh BN yang diberi ruang untuk mendaftar hak kerakyatan secara mudah.

selatan online/-

Tiada ulasan: