01 Mac 2012

Juru kimpal ugut abang ipar guna parang dihukum penjara

8 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang juru kimpal dikenakan hukuman 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah mengugut abang iparnya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Binjai di sini, 23 Februari lalu.

Hukuman terhadap Anuwar Ismail, 29, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke rumah pengadu, Kamsan Jamian, 38, bertanya di mana kakaknya sebelum pengadu menjawab tidak tahu.

Tertuduh bagaimanapun terus mengacu parang dan mencekik leher pengadu.

Oleh sebab ketakutan, pengadu cuba melepaskan diri dan terkena parang di bahu pengadu. Pengadu yang tidak berpuas hati bertindak membuat laporan di balai polis Pengkalan Chepa.

Kejadian berlaku di hadapan rumah di Kampung Bawal, Jejulok, Binjai di sini, pada jam 2 petang.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly mengenakan hukuman itu.

Dalam perkembangan sama, dia bagaimanapun menafikan tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan kakaknya, Noorliza Ismail, 43, 15 minit sebelum kejadian ugut tersebut.

Dia didakwa dengan sengaja memukul mangsa dengan sebatang kayu penyapu sehingga mangsa mengalami kecederaan pada jam 1.45 petang, tarikh dan lokasi yang sama.

Susulan penafian itu, Mohd Fazaly Ali menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes kedua tertuduh.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Tiada ulasan: