10 Rejab 1433H. [MOD] -
ALOR GAJAH - Ayat terakhir, “Kak, Lan pergi dulu ya!,” menjadi petanda buat seorang kakak sebelum kehilangan adik bongsunya yang terlibat dalam nahas di Kilometer 221.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, tengah malam semalam.
Kakak mangsa, Sunita Aman, 28, berkata, dia yang tidak sedap hati tergerak menghantar adiknya, Muhamat Roslan Aman, 26, hingga ke pintu pagar rumah pada petang Isnin lalu selepas adiknya bersungguh-sungguh mahu berjumpa rakan untuk menunjukkan motosikal Kawasaki Ninja150 yang baru dibeli secara tunai.
“Pada petang itu, saya hantar arwah hingga ke pagar halaman rumah dan kebiasaan arwah akan berkata “Lan keluar dulu ya kak” tetapi petang itu arwah berkata “Kak, Lan pergi dulu ya,” lantas membuatkan saya rasa tidak sedap hati dan tergerak untuk menatap wajahnya sebelum dia keluar,” katanya.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dari arah Kuala Lumpur dalam perjalanan pulang ke rumah kakaknya di Kampung Pasir Putih, Melaka dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah kenderaan.
Sunita berkata, arwah adiknya tinggal bersamanya sejak tiga bulan lalu dan bekerja sendiri mengikut rakan. Menurutnya, adiknya tidak pernah berkasar dengan adik beradik lain. "Arwah juga seorang yang baik hati dan sayang pada dua anaknya.
“Sebelum ini arwah pernah mengalami kerosakan motosikal di lokasi sama, namun tidak sangka akan menemui ajal di situ,” katanya. Katanya, lebih pelik apabila arwah adiknya itu tiba-tiba memberikan hadiah hari lahir buat suaminya, Nurazad Abd Rahim, 29, enam bulan lebih awal berupa seutas tali pinggang berjenama dua hari sebelum kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kemalangan maut berkenaan. “Orang awam dan pengguna jalan raya yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah menerusi talian 06-5563222 untuk membantu siasatan.
“Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan