10 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - Penduduk di Kampung Likung, Pasir Tumbuh di sini, bimbang berikutan tanah Perkuburan Tok Cik di kawasan mereka diancam hakisan sejak lima tahun lalu.
Seorang penduduk, Kamaruddin Mahmood, 46, berkata, tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun yang terletak berhampiran sungai berkenaan semakin sempit ekoran tebingnya terhakis dan perlu ditangani segera.
“Setakat ini kira-kira 20 kubur lama dibawa arus dan kami bimbang lebih banyak kubur akan hilang begitu sahaja sekiranya langkah susulan tidak diambil untuk mengatasi masalah tebing mendap.
“Ada pencari ikan di kawasan sungai di sini terkejut apabila menemui tengkorak orang mati akibat tanah perkuburan tersebut runtuh,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.
Perkara tersebut turut diakui oleh Ismail Ibrahim, 73, dan memberitahu jenazah terpaksa dikebumikan di atas kubur orang lain dan perlu menggunakan kawasan kediaman penduduk berhampiran untuk urusan pengebumian.
Ismail berkata, perkara itu semakin membimbangkan penduduk apabila hujan lebat kerana tebing tersebut cepat mendap dan lebih banyak kubur hilang dibawa arus.
“Kubur nenek moyang saya juga sudah dihanyutkan arus sungai dan saya tidak mahu pusara orang lain turut musnah kerana keadaan ini masih belum terlambat untuk selamatkan,” katanya.
Ismail Yusof,76, mencadangkan pihak berkaitan dapat menghulurkan bantuan untuk membina benteng di tepi sungai tersebut untuk mengelak tanah terus runtuh dan lebih banyak kubur rosak.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah tersebut penduduk merancang untuk membeli tapak perkuburan baru berhampiran kawasan itu tetapi harganya tidak mampu ditanggung oleh mereka biarpun ditawarkan dengan jumlah yang rendah.
Bagi tujuan itu, masyarakat setempat meminta campur tangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Bagi orang ramai yang berminat membantu, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam bernombor 03018010141237 atas nama Madrasah Ibrahimiyyah.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan