10 Rejab 1433H. [MOD] -
GURUN - Seorang isteri merayu agar suaminya pulang bagi membincangkan masalah hutang yang dihadapi kerana sudah tidak tahan dengan gangguan ah long.
Masitoh Awang Kechik, 41, berkata, pada 18 Mei lalu, suaminya, Alieh Md Nasir, 57, keluar rumah jam 5 pagi seperti biasa, untuk menjalankan perniagaan menjual ikan di Sungai Lalang.
Menurutnya, kali terakhir suaminya menghubunginya pada jam 10 pagi hari tersebut dan selepas itu suaminya tidak pulang sehingga ke hari ini serta gagal dihubungi.
“Setelah tidak pulang ke rumah, saya cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun gagal kerana dia telah mematikan talian telefon bimbitnya itu. “Saya rayu suami untuk pulang segera ke rumah untuk membincangkan apa sahaja masalah dihadapinya agar dapat diselesaikan bersama secara baik,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Taman Jerai Emas di sini.
Sementara itu, Masitoh berkata, sehari selepas suaminya tidak pulang ke rumah, dia mula diganggu lebih lima ah long yang datang ke rumah bagi menuntut sejumlah wang yang didakwa dipinjam suaminya.
Tidak tahan dengan gangguan ah long setiap hari, dia membuat laporan di Balai Polis Gurun pada 20 Mei lalu kerana risaukan keselamatan suaminya.
“Saya juga hilang sumber pendapatan kerana selama ini perbelanjaan harian hanya bergantung kepada hasil jualan ikan suami.
“Dalam masa sama, saya terpaksa berhadapan dengan ah long yang datang ke rumah setiap hari untuk menuntut wang yang dipinjam suami, sedangkan sebelum ini saya tidak pernah tahu suami ada meminjam wang daripada ah long,” katanya.
Masitoh berkata, dia turut diugut ah long mahu mengambil barangan berharga di rumahnya dan mengancam keselamatannya sekiranya dia tidak dapat melunaskan hutang yang dipinjam suaminya.
Tambahnya lagi, dia kini tidak berani keluar rumah dan tidak dapat melelapkan mata akibat trauma dengan ugutan ah long itu.
“Saya merayu kepada sesiapa yang terjumpa suami saya untuk menghubungi saya atau balai polis berdekatan.
“Saya sudah hilang punca dan tidak tahu di mana mahu mencarinya lagi kerana sudah mencari di merata tempat, termasuk meminta pertolongan rakan-rakannya namun tidak berjaya,” katanya.
Kepada sesiapa yang terjumpa Alieh boleh menghubungi Masitoh di talian 012-5002903 atau balai polis berhampiran.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan