31 Mei 2012

Himpunan Hijau “Semarak Perjuangan Serlah Keyakinan”

10 Rejab 1433H. [MOD] -

Himpunan Hijau pada 1hb Jun adalah ijtimak terbesar PAS bagi menggarap gelombang mujahadah seluruh ahli dan jentera parti bagi memperkasakan persiapan menghadapi PRU ke 13.

Himpunan bagi menggantikan muktamar PAS Pusat yang ditangguh ini akan menyerlahkan satu penyataan persediaan jentera parti di semua peringkat.

Himpunan ini akan diadakan dalam suasana semua pihak menggembleng tenaga dan sokongan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti yang bakal menerajui negara.

Himpunan ini juga satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah dengan rayuan, bermunajat dan menghambakan diri kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU ke 13.

Munajat kali ini adalah untuk agama, bukan bagi mencapai kepentingan diri dan peribadi. Munajat yang dapat diambil iktibar dari apa yang dipohon oleh Rasulullah dan para sahabat:

Al-Baqarah: 250

"Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir."

Himpunan atau ijtimak ini mampu menyerlah model himpunan paling baik untuk dinilai oleh rakyat. Rakyat boleh bandingkan dengan Himpunan Sejuta Belia yang dicemari dengan pelbagai perkara tidak senonoh, malah mengakibatkan kemalangan dan kecederaan akibat keghairahan manusia bagi menterjemahkan keegoan dan kesombongan.

Himpunan Hijau ini merupakan himpunan bagi rakyat membanding, meneliti, menilai dan membuat keputusan antara dua himpunan anjuran Umno dan PAS.

Himpunan Hijau ini tidak disediakan pengangkutan, tiada duit poket, tiada penyediaan tempat tinggal - semuanya atas keringat usaha peserta sendiri bagi menterjemahkan kewajipan kita kepada jamaah, pengorbanan kita bagi mendaulatkan Islam.

Majlis ini tidak dihidang dengan konsert, perlumbaan kereta, artis berpakaian menjolok mata, tiada tarian dan nyanyian, yang ada adalah tangisan takut akan azab Allah, merayu pertolongan Allah bagi memelihara agama dan umat ini.

Himpunan yang jauh dari elemen maksiat dan kemungkaran ini akan menyerlahkan ketinggian akhlak para pekerja parti dan penyokong serta dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat kepada semua yang mengikutinya di sana dan juga siaran langsung di dalam pelbagai saluran media baru.

Himpunan Hijau terdiri dari pelbagai acara, bermula dengan mesyuarat khas pimpinan parti, taklimat tertutup kepada pimpinan seluruh negara, kuliah dan santai bersama Ustaz Azhar Idrus, disusuli dengan kuliah maghrib yang akan dipimpin oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Kemudian ia akan diikuti dengan Munajat Perdana dan berakhir dengan amanah khas pimpinan tertinggi PAS sebelum ditutupi dengan ikrar seluruh jentera dan ahli parti untuk tekad dan sedia mengharungi sebarang rintangan dan cabaran dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Marilah kita hadir beramai ramai bagi menyatakan kasih kita kepada Allah, kerinduan kita kepada Rasulullah s.a.w, kesungguhan kita menyaksikan kemenangan Islam. Semoga himpunan ini akan menyerlahkan satu perbandingan bagi dinilai oleh rakyat.


Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
31 Mei 2012

Harakah Daily

Tiada ulasan: