10 Rejab 1433H. [MOD] -
KAMPUNG PIANGGU – Sebanyak tujuh kerbau penarik yang dianggarkan bernilai RM28,000 dipercayai hilang pagi kelmarin di Ladang Endau Rompin dipercayai dilarikan pihak tidak bertanggungjawab.
(Pekerja menunjukkan hanya tinggal gerabak haiwan itu yang ditinggalkan
selepas kerbau milik majikan mereka dikebas pihak tidak bertanggungjawab)
Tiga syarikat kontraktor iaitu Khoo Development, Aliff dan Kenway yang menyelia dan menguruskan sawit di ladang milik Yayasan Pahang (YP) Plantation Sdn Bhd ini terpaksa menanggung kerugian ekoran kejadian ini.
Kehilangan kerbau itu disedari jam 7 pagi oleh beberapa pekerja warga asing yang menjaga haiwan itu selepas mendapati kerbau yang ditambat pada pokok sawit di dalam kawasan ladang itu tiada di tempat asalnya.
Pekerja syarikat itu mendakwa, terdapat kesan tapak kaki haiwan itu di dalam Parit Ladang 17 kawasan yang kemudiannya dipercayai ditarik keluar menyeberangi parit sebelum kesemua kerbau itu dibawa menaiki lori yang sedia menanti di kawasan luar ladang.
Penjaga kerbau Syarikat Kenway, Jamaluddin Ishak, 47, berkata, dia dimaklumkan tentang kehilangan seekor kerbau majikannya oleh seorang pekerja warga asing yang bertindak sebagai penjaga haiwan itu.
“Seorang pekerja menyedari kehilangan kerbau itu pada pagi selepas kejadian apabila mendapati kerbau yang ditambat pada pokok tiba-tiba hilang,” katanya.
Jamaluddin berkata, dia juga dimaklumkan beberapa rakan lain yang menjaga kerbau di ladang itu turut memaklumkan kepadanya tentang kes kehilangan haiwan itu.
“Saya percaya bahawa kerbau kami dilarikan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, pencuri terbabit dipercayai menggunakan modus operandi pada awal pagi dengan meninggalkan lori di tepi parit sebelum kesemua mereka berjalan kaki masuk ke ladang itu melalui jalan ‘tikus’ menuju ke dalam ladang tersebut.
Katanya, suspek dipercayai masuk ke ladang itu terpaksa mengharungi perjalanan sejauh lima kilometer sebelum mengambil kerbau penarik Pekerja menunjukkan hanya tinggal gerabak haiwan itu yang ditinggalkan selepas kerbau milik majikan mereka dikebas pihak tidak bertanggungjawab. yang ditambat pada pokok sawit.
“Perbuatan jenayah ini dipercayai dilakukan pada awal pagi memandangkan keadaan ladang sawit yang sunyi dan kesemua pekerja ladang sedang nyenyak tidur,” katanya.
Kes curi kerap berlaku Seon Omar, 44, berkata, sebanyak empat kerbau milik majikannya itu hilang dalam kejadian berkenaan. Seon yang bekerja dengan syarikat kontraktor Khoo Development berkata, kesemua kerbau yang dianggarkan berusia antara empat hingga sembilan tahun itu dipercayai turut dilarikan dalam kejadian tersebut.
“Kita percaya perbuatan ini dilakukan individu yang tahu selok belok dan mahir dengan kawasan ini kerana sebelum ini kami mendapati modus operandi yang sama turut dilakukan untuk mencuri kerbau di sini,” katanya.
Seorang penyelia ladang warganegara asing, Kadir Mit, 42, berkata, kehilangan kerbau di ladang itu bukanlah kali pertama kerana kes itu kerap berlaku dan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
“Kita bimbang akan lebih banyak lagi kes kehilangan kerbau akan berlaku jika hal ini tidak ditangani segera,” katanya.
Jamaluddin mendakwa terdapat kesan tapak kaki kerbau di dalam Parit Ladang 17. Pasang pagar elak ceroboh Seme ntara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pianggu, Mohd Ali Abdullah berkata, YP Plantation diminta supaya memperketat langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.
Mohd Ali berkata, YP Plantation juga diminta supaya memasang pagar di beberapa kawasan berisiko tinggi berlakunya kecurian memandangkan sebelum ini suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu dengan menggunakan laluan yang sama.
“Kami berharap agar YP Plantation dapat melakukan tindakan susulan berhubung hal ini termasuk meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung kes kecurian itu dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Kita sedia maklum hal ini dan polis sedang siasat bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan