10 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA KUBU BHARU - Keriangan dua beradik bersama rakannya menghabiskan cuti sekolah dengan bermandi di sungai belakang rumahnya bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.
Anak sulung daripada lapan beradik, Mohamad Baihaqi Mohamad Sahiful Nahar, 15, ditemui lemas di lubuk Sungai Dusun, Felda Soeharto dekat sini selepas sejam keluar bersama adiknya ke sungai itu petang kelmarin.
Ayah mangsa, Mohamad Sahiful Nahar Damyati, 43, berkata, anak sulung dan anak keduanya ada meminta izin untuk keluar mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang dan sejam kemudian jirannya memberitahu anaknya lemas dan dibawa penduduk kampung ke klinik.
“Ketika sedang menjahit, jiran memberitahu anak saya lemas dan dihantar ke klinik.
“Mulanya saya tak tahu siapa, bila tiba di klinik saya lihat anak sulung saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) malam kelmarin.
Menurutnya, Mohamad Baihaqi yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sering mandi di sungai berkenaan ketika cuti sekolah.
"Mohamad Sahiful Nahar yang reda dengan pemergian anaknya menganggap kejadian itu adalah takdir ALLAH. Katanya, ketika kejadian arwah anaknya dikatakan mandi di kawasan lubuk sungai dan lemas di situ.
“Anak kedua saya memberitahu pada mulanya dia dan arwah abangnya hanya mandi di tepi sungai tetapi arwah berenang ke kawasan lubuk.
“Di situ, arwah dilihat tenggelam timbul sebelum hilang,” katanya.
Jelasnya, adik arwah yang tidak dapat menyelamatkan abangnya segera meminta tolong daripada penduduk kampung sebelum dibawa ke klinik.
Tambahnya, ketika tiba di klinik pegawai perubatan memberitahu anaknya telah meninggal dunia.
Jenazah Mohamad Baihaqi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Soeharto malam kelmarin
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan