31 Mei 2012

Doktor Osama dipenjara 33 tahun kerana militan

10 Rejab 1433H. [MOD] -

ISLAMABAD - Dilihat sebagai perkembangan terbaru dalam kes yang mencetuskan kemarahan Washington, seorang doktor Pakistan yang membantu Agensi Risikan Pusat (CIA) mengesan Osama bin Laden tahun lalu, dipenjara minggu lalu kerana terlibat dalam aktiviti militan.

Dokumen mahkamah yang dikeluarkan semalam menunjukkan Dr Shakil Afridi tidak bertindak membantu khidmat risikan Amerika, sebaliknya dikaitkan dengan kumpulan militan.

Tindakan Pakistan menahan beliau lebih seminggu lalu mengundang kecaman pentadbiran Obama dan membawa kepada tekanan agar bantuan kepada Pakistan dipotong AS$33 juta - satu juta dolar bagi setiap satu tahun hukuman penjara dikenakan ke atasnya.

Laporan-laporan sebelum ini menyebut doktor itu mengkhianati kepentingan negara dengan membekalkan maklumat kepada agensi risikan asing.

Dokumen mahkamah yang dikeluarkan semalam pula menunjukkan beliau kini didakwa terlibat dalam "aktiviti-aktiviti antikepentingan negara."

Keluarga Shakil mendakwa tahanan beliau sebagai satu tindakan mengarut dan peguamnya mahu mengemukakan rayuan.

Kes Shakil didengar di bawah sistem kehakiman puak secara tertutup.

Osama terbunuh dalam serangan ketenteraan pasukan khas Amerika Syarikat (AS) pada awal Mei 2011.

Sinar Harian

Tiada ulasan: