10 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya baru-baru ini mengesahkan bahawa pihak Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan sendiri membakulsampahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Menurut Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), hiburan dengan wanita separuh bogel dalam acara perhimpunan tersebut adalah lambang kebudayaan di Negara ini yang telah mengganti nilai agama dan moral yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
"Jelas yang berlaku adalah suatu penghinaan kepada kebudayaan negara dan Perdana Menteri menjadi Ketua Liberalis Malaysia bila membenarkan budaya lucah dipentaskan bersama kehadiran beliau.
"Jika ada pihak yang mengangkat isu wujudnya gerakan liberal di negara ini, maka kami berpendapat Perdana Menteri membayangkan bahawa beliau adalah ketua kepada budaya dan pemikiran liberal di Malaysia," kata setiausahanya Mohd Azmi Abdul Hamid.
Mapim katanya, kesal dan mengutuk budaya liberal yang diterjemahkan dalam bentuk acara hiburan yang sangat anti akhlaq yang disahkan oleh perdana menteri bersama penari separuh bogel dalam perhimpunan tersebut.
Menurut Azmi, dengan membenarkan wanita berpakaian tidak senonoh mengadakan pementasan yang direstu oleh Perdana Menteri dan Menteri yang berkenaan, manakala Menteri Agama di JPM serta para Mufti tidak pula bersuara, mengesahkan aliran liberalisme dan pluralisme sebagai budaya dan aliran pemikiran yang dibenarkan oleh konsep wassatiyah yang ditaja oleh PM.
"Asalkan dapat dihimpunkan belia dan mengujudkan suasana serba bebas dan tidak menghormati kebudayaan kebangsaan, PM sanggup mengadai akhlak generasi muda hanya untuk berpropaganda untuk PRU 13," katanya lagi.
Beliau juga mendakwa progran itu sebenarnya memperalatkan belia dengan memancing mereka berhimpun dengan acara hiburan liar dan cara itu sudah lama diguna oleh pihak kerajaan.
"Di satu hal budaya politik samseng dibiarkan berleluasa , ditambah lagi hiburan liar juga diguna untuk melekakan belia dari berfikir mengenai pelbagai isu Negara yang akan menentukan nasib dan masa depan agama dan bangsa.
"Mapim tidak dapat menerima pendekatan yang diguna oleh kerajaan yang mengguna peruntukkan dari wang rakyat dengan memaparkan budaya liar dan tidak senonoh," katanya.
Sehubungan itu, mapim menuntut Kementerian Belia dan Sukan mendedahkan berapa jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan