21 Rejab 1433H. [MOD] -
Himpunan hijau anjuran PAS adalah siri ijtimak yang diadakan sejak lebih tiga puluh tahun di peringkat nasional, negeri dan kawasan. Di peringkat nasional dianjurkan tidak secara tahunan, tetapi mengikut masa yang dikira sesuai bagi mengumpulkan ahli di seluruh negara.
Setiap himpunan mempunyai tema bagi memperkasakan aqidah perjuangan PAS dan membangkitkan semangat ahli serta penyokong.
PAS tidak terikut-ikut atau terpengaruh dengan pihak lain, termasuk yang menganjurkan beberapa himpunan gelombang biru yang dikatakan menghimpun berjuta peserta.
Bahkan ternyata perbezaan yang jauh laksana langit dan bumi, seperti berbezanya warna hijau dan biru itu. Aturcara dan pengisiannya juga sangat tidak sama.
Ahli dan penyokong PAS sahaja dikerah datang dari seluruh pelusuk negara. Mereka datang mengikut arahan pemimpin dengan kenderaan dan cara masing-masing dengan duit sendiri.
Mereka yang datang menyertai gelombang biru lain caranya. Kalau tidak ada habuan yang nampak dimata dan seronok didengar, mereka tidak bersedia pun untuk datang.
Himpunan hijau dihitung sendiri oleh mereka yang datang dan menyaksikannya. Gelombang biru memerlukan tambah nilai dengan berbagai cara penggambaran melalui sudut yang ramai peserta, bukannya semua sudut dan disolek melalui penyiaran melalui media yang dikuasai sepenuhnya.
Setiap ahli dan penyokong PAS yang datang ke himpunan hijau mengharapkan pahala daripada Allah. Duit dan tenaga terpaksa dikorbankan kerana yakin adanya pahala, walau apapun orang mengata.
Mereka yang menyertai gelombang biru sila nyatakan, adakah mereka juga mahukan pahala?
Himpunan hijau didahulukan dengan pesanan supaya para pimpinan disemua peringkat supaya berjuang dengan sifat taqwa dan ikhlas menegakkan Islam tepat dengan petunjuk Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. dengan akhlak yang mulia dan hanya percaya kepada janji Allah dunia dan akhirat.
Kalau ditunjuk-tunjuk zahir sahaja tiada fadilatnya dan cabut lari, tanpa dilihat habuannya dengan mata kasar dan tidak diketahui bila masa mencapainya, sehingga ternganga, tiba-tiba diminta menghulurkan derma pula, tetapi yakin dan percaya kepada janji Allah.
Gelombang biru dipenuhi ucapan janji kebendaan dan kemewahan melempah ruah. Diminta menunggu bila hendak ditaburkan. Akan diberi apabila ditadah tangan, disuap sebaik sahaja dinganga dan ada yang datang dijemput untuk mengambil atau dibawa bergolek datang ke rumah atau menadah poket untuk diisi. Semuanya sudah siap dengan angka berbilion ringgit.
Kemuncak himpunan hijau dimulakan dengan sembahyang Maghrib berjamaah, sembahayang hajat secara bermunajat mengadu dan merayu kepada Allah dan sembahayang isya berjamaah.
Selepasnya mendengar ceramah para pemimpin PAS dan tokoh masyarakat daripada berbagai bidang yang baru menyertai PAS. Diselangi pula dengan laungan takbir, sama ada menyubur semangat atau dibenci syaitan yang tidak suka dengan laungan takbir. Seterusnya diakhiri dengan doa yang dipimpin oleh Mursyid Am.
Ada pun kemuncah gelombang biru ialah pesta hiburan oleh kumpulan K- pop atau sewaktu dengannya. Walau pun melangkah waktu sembahayang fardu, kerana agama hak masing-masing tidak bercampur dengan politik. Diikuti pula nyanyian bergema bersama sorak surai terlalu gembira, disertakan dengan tari-menari kerana terlalu gembira.
PAS mengerahkan ahli bagi himpunan hijau supaya bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum, walau pun belum diumumkan. Kerja pilihanraya mesti dilakukan daripada sekarang. Bersiap sedia menghadapi piliharaya dengan cabaran banyak penipuan yang nyata dan tersembunyi.
Gelombang biru dianjurkan untuk menabur umpan terlebih dahulu secara janji kalau menang dan sewaktu pilihanraya juga sudah dapat upah.
Para pemimpin dalam keadaan teragak-agak menentukan tarikh pilihanraya kerana mereka yang datang belum tentu mengundi Barisan Nasiaonal.
Penganjur tetap dibayangi kebimbangan gelombang berlalu dengan meninggalkan mata kail sahaja dan umpannya hilang entah ke mana.
Demikianlah perbezaan mukadimah dan pengisian diantara Himpunan Hijau anjuran PAS dan gelombang Biru anjuran Umno.
Himpunan hijau membuktikan bahawa hampir sejuta ahli PAS sedia mengikut arahan para pemimpinnya diseluruh negara, bukan sahaja berhimpun, bahkan bekerja dengan pendekatan terkini bersama Pakatan Rakyat.
Kerahan dibuat hanya kepada ahli-ahli Pas sahaja, kerana kita tidak mahu diramaikan oleh bukan ahli PAS, termasuk kalangan parti-parti pakatan rakyat. Sekurang-kurangnya menyatakan PAS boleh ganti Umno dan Gagasan Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional.
Maka PAS menyeru secara khusus kepada umat Islam, kebanyakannya adalah berbangsa Melayu, bahawa parti kebangsaan Melayu yang bernama Umno sudah habis tempoh tugasnya dan perlu direhatkan, seperti parti–parti lain diseluruh dunia yang mengamalkan demokrasi.
Bukan sahaja telah berlalu lebih lima puluh tahun sejak merdeka menjadi tulang belakang kepimpinan negara, tetapi menjadi parti yang leka dan melekakan rakyat dengan hiburan dan janji kemewahan demi terus menang walau pun menipu rakyat tanpa menyelesaikan masalah yang telah berlalu.
Dihinggapi pula masalah baru dan masalah yang akan datang. Walau pun sudah ada kalangan pemimpinnya yang berani berkata :”Melayu Mudah Lupa!”.
Himpunan hijau menghimpunkan ahli dan penyokong Pas daripada berbagai bangsa yang menganut Islam dan kalangan bukan Islam yang mendukung perjuangan politik Islam melalui Dewan Himpunan, dengan Islam memimpin umat manusia majmuk menegalkan keadilan kepada semua.
Pas bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat termasuk kalangan bukan Islam dan bukan Melayu tetap menerima hakikat wujudnya masyarakat majmuk berpaksikan resolusi bersama bertunjangkan apa yang ditetapkan dalam perlembagaan.
Islam Agama Persekutuan dan hak yang adil kepada berbagai agama yang dianut oleh rakyat.
Hak istimewa bumiputera dan layanan adil terhadap pelbagai kaum yang juga menjadi rakyat.
Bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi dan mengiktiraf adanya bahasa ibunda masing-masing.
Raja berperlembagaan yang berhak juga memerhati sekiranya ada kesilapan bukannya simbol tanpa kuasa.
Pendekatan yang menyatukan rakyat melalui asas tersebut dengan betul dan seksama dan bukannya mengapikan semangat fanatik perkauman, apatah lagi dijadikan senjata untuk melagakan rakyat bagi mengekalkan kuasa secara zalim.
PAS mendukung konsep negara berkebajikan yang diterapkan dalam buku jingga. Berhasrat melahirkan kepimpinan negara yang menunaikan amanah, bukannya mendapat kuasa yang menjadi peluang kepada segelintir manusia dan menghiburkan rakyat supaya leka mudah ditipu.
Pakatan Rakyat akan menyerahkan kepada rakyat menjadi hakim yang adil pada setiap pilihanraya yang benar-benar menjadi hak rakyat dan kerajaan Pakatan Rakyat boleh diturunkan kalau bersalah bukannya secara menipu.
Himpunan hijau adalah latihan kepada ahli Pas bahawa mereka datang berhimpun tanpa paksaan dan habuan. mereka datang sebagai rakyat yang memahami haknya yang sebenar, bukan rakyat yang diajar sentiasa berbohong dengan mengampu para pemimpin yang sentiasa menyuap umpan yang mengenyangkan perut dan membodohkan akal.
Himpunan hijau adalah menyatakan perjuangan Pas untuk semua rakyat, kerana Islam itu adalah rahmat Allah kepada seluruh alam.
----------------------------------------------------------
Penulis adalah PRESIDEN PAS
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan