21 Rejab 1433H. [MOD] -
TANJUNG KLING - Sebuah kedai separuh papan di Simpang Tanjung Bruas, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4.20 petang, kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Tangga Batu dan Jalan Kubu berjaya mengawal api daripada merebak ke dua unit kedai makan bersebelahan.
Ketua Balai Bomba Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan 1, Abdul Razak Manap berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian itu pada jam 4.28 petang.
Menurutnya, sebuah jentera bersama enam anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu serta dua jentera dari Balai Bomba Jalan Kubu dengan 10 anggota diarahkan ke tempat kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi pada jam 4.35 petang, api marak membakar kedai tengah yang berkembar dengan sebuah kedai lain. “Kami mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 5.10 petang.
“Kedai terbabit adalah kedai kosong dan sudah lama tidak beroperasi. Punca kejadian masih disiasat,” katanya Sementara itu, anak pemilik kedai makan bersebelahan, Siti Hajar Amat, 24, berkata, kedai yang terbakar sebelum ini adalah kedai runcit tetapi sudah tidak beroperasi sejak empat tahun lalu.
"Walau apa pun, saya lega kerana api tidak merebak ke kedai makan ibu saya. “Biasanya, kedai makan ini dibuka setiap hari termasuk Sabtu (kelmarin) tetapi ditutup kerana ibu menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Kuala Lumpur,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan