11 Jun 2012

Tamrin: Dr M Sengaja Dorong Anwar Lawan Bapa Saya

21 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Keputusan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menentang Allahyarham Tun Ghafar Baba dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1993 bertukar sebaliknya apabila Anwar didorong oleh Presiden Umno, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Demikian menurut bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abd Ghafar ketika menyampaikan ucapan beliau dalam program Diskusi Isu Terkini di Lembah Pantai malam tadi.

“Saudara Anwar ni saya dah kenal lama dari saya Pemuda (Umno) lagi dan saya percaya dia.

“Masa tu dia memang tak nak lawan Pak Ghafar, dia beritahu saya, beritahu Pak Ghafar dia tak nak lawan, tetapi tiba-tiba sahaja berubah.

“Selepas perkara tu berlaku, saya tanya dan arwah bapa saya juga pernah bercakap dengan orang-orang seperti Datuk Mazlan Harun, Mat Sabu.

“Mereka kata, yang mainkan dia tu, Dr Mahathir. Ini cerita sebenar,” ujar Tamrin dihadapan kira-kira 800 yang menghadiri program itu.

Selain itu menurut Tamrin, beberapa pemimpin kanan Umno ketika itu turut memaklumkan kepada beliau akan perkara yang sama.

“Saya sendiri diberitahu Allahyarham Datuk (kini Tan Sri) Mohamed Rahmat, Allahyarham Datuk (kini Tan Sri) Megat Junid dan Gabenor Melaka sekarang ini, Tun Khalil Yaakob.

“Mereka kata yang menggalakkan Anwar lawan Pak Ghafar ni adalah Dr Mahathir.

“Sebagai orang muda, kalau saya pun, kalau boss dah bagi jalan saya akan lawan, siapa tak nak jadi Perdana Menteri.

“Ini yang dalam Umno berlawan nak jadi naib presiden, nak jadi ketua wanita tu pasal apa? Nak jadi Perdana Menteri lah tu.

Tamrin memberitahu, persahabatan beliau dan Anwar tetap terjalin kerana beliau mengetahui kedudukan sebenar.

“Tak jadi masalah. Sebab itulah persahabatan saya dengan Anwar ni dari dahulu sampai sekarang tak berganjak sebab saya tahu niat dia tak mahu lawan tetapi Dr Mahathir dah galakkan.

“Kemudian arahkan orang ini, orang itu untuk galakkan lagi Anwar,” ujar beliau lagi.

Pada 1993, Ghafar mengambil keputusan berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Anwar dalam pemilihan parti itu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution memulakan program Diskusi Isu Terkini itu dengan melancarkan Kelab Nurul Izzah (NIC).

Selain Tamrin, Saifuddin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah sendiri, turut menyampaikan ucapan malam tadi adalah Rafizi Ramli dan Tunku Harmy Tunku Hanan.

selangorku/-

Tiada ulasan: