11 Jun 2012

Tanah sekolah ke JKKK: Mahkamah benar semakan kehakiman

21 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Trengganu Datuk Mohd Yazid Mustafa telah menolak bantahan pihak Peguam Negara yang menentang permohonan Darul Bayan Development Sdn Bhd (DBDSB) bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman (judicial review) untuk mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Trengganu dan 2 yang lain iaitu Responden di dalam kes tersebut.

Dengan keputusan ini, Mahkamah semalam membenarkan permohonan sekolah agama itu (gambar) untuk mencabar keputusan sebelum ini yang menghalang mereka mencabar perampasan tanah mereka dan diberikan kepada JKKK.

Pada 25 Mac yang lalu DBDSD telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan responden yang memberikan hakmilik kepada lima orang individu lain meskipun hartanah tersebut asalnya telah diluluskan oleh Kerajaan PAS Trengganu pada 22 Oktober 2003 untuk diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan yang dikendalikan oleh DBDSB.

Berdasarkan carian di Pejabat Tanah Dungun DBDSB mendapati 5 orang individu yang diberikan hakmilik hartanah tersebut kepada anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung atau isteri masing-masing.

Mereka adalah adalah Rosli bin Hashim iaitu ahli JKKK Kampung Cacar, Muhamad bin Idris ahli JKKK Kampung Limbung, Paka, Suhaini binti Abd Karim, isteri Pauzi Nong Nain Pengerusi JKKK Kg Limbung, Ibrahim bin Abdullah, ahli JKKK Kampung Limbung dan Abd Ghani bin Muda suami kepada Anita binti Arifin, Setiausaha JKKK Kampung Limbung.

Di dalam bantahannya pihak Peguam Negara menyatakan hartanah yang diluluskan oleh Kerajaan PAS sebelum ini adalah tanah TOL yang diberikan untuk tempoh 3 tahun dengan syarat-syarat tertentu.

Peguam Negara berhujah meskipun terdapat bukti TOL untuk tahun 2003 namun selepas 2004 tiada bukti TOL diluluskan oleh Responden.

Peguam Negara juga berhujah bahawa di dalam kes North East Plantation sebelum ini Mahkamah Persekutuan telah menyatakan selagi tanah belum didaftarkan ke atas nama seseorang kerajaan berhak untuk merampas tanah yang diberikan itu dan mahkamah tidak boleh campurtangan.

Peguam DBDSB pula berhujah bahawa kes ini bukan melibatkan isu tanah TOL semata-mata sebaliknya ianya melibatkan isu keadilan (fairness).

Peguam berhujjah adil atau tidak untuk responden (kerajaan negeri Terengganu) memberikan hakmilik hartanah yang telah diluluskan kepada Sekolah Rendah Islam dengan secara arbitrari diberikan pula kepada pihak lain tanpa diberikan hak untuk didengar kepada pihak yang menjadi mangsa di dalam kes itu.

Peguam berhujah fakta kes ini menunjukkan wujudnya perlanggaran prinsip keadilan asasi iaitu prinsip audi alteram partem (hak untuk didengar) dan prinsip kesamarataan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang Mahkamah tidak harus mengenepikan begitu sahaja.

Peguam DBDSB juga berhujah memandangkan kelulusan telah diberikan untuk hartanah itu diberikan kepada pihak pemohon iaitu DBDSB maka kelulusan itu perlu dibatalkan terlebih dahulu oleh Responden sebelum ia boleh diberikan kepada pihak lain.

Tentang ketiadaan bukti diperharui TOL sejak tahun 2004 peguam berhujah ianya bukan salah pihak DBDSB sebaliknya ianya hasil tindakan Responden sendiri yang sejak tahun 2004 iaitu selepas Kerajaan BN ambil alih Terengganu pemohonan untuk diperharui TOL telah dibekukan oleh Responden sendiri.

Di dalam penghakiman bertulisnya mahkamah memutuskan DBDSB telah berjaya menunjukkan bahawa kes mereka bukan kes yang remeh sebaliknya wujudnya prima facie untuk kes tersebut diteruskan di peringkat seterusnya.

Mahkamah juga, kata hakim , mendapati fakta kes ini boleh dibezakan dengan kes North East Plantation.

DBDSB diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Nasar Khan manakala Peguam Negara pula diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: