11 Jun 2012

BERSIH 3.0: TERAS Gesa KDN Dan PDRM Bertanggungjawab

21 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 11 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa segera bertanggungjawab terhadap keganasan pihak polis mengawal Himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu yang dihadiri lebih 300,000 rakyat pelbagai kaum.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, tindakan pihak polis menggunakan kekerasan melampau kepada peserta himpunan Bersih 3.0 adalah sebagai suatu tindakan tidak bermoral dan di luar tamadun kemanusiaan.

“Saya minta KDN dan PDRM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan dilakukan oleh polis sewaktu himpunan Bersih lalu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Katanya, pihak polis mengambil jalan mudah dengan melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air kimia kepada peserta Bersih 3.0 yang juga dihadiri oleh warga tua dan wanita.

“TERAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis ke atas orang awam termasuk petugas media dan ternyata mereka gagal mengawal keadaan himpunan yang berlangsung secara aman pada mulanya.

” Himpunan BERSIH 3.0 adalah himpunan aman yang sengaja dicemari bagi menghalalkan penangkapan dan meletakkan segala kesalahan kepada rakyat dan bukan kepada pihak polis,” jelasnya.

Sabtu lalu, keadaan himpunan BERSIH 3.0 terkawal sehingga dicemari provokasi pihak polis berpakaian biasa serta insiden ganas pihak polis memukul petugas media dan orang awam.

Walaupun media milik kerajaan cuba menyalahkan orang ramai namun pelbagai saluran media alternatif serta internet turut memaparkan pelbagai keganasan yang dilakukan pihak polis.

Selain itu, TERAS mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) meletakkan jawatan kerana matlamat yang dibawa Bersih 3.0 gagal diambil tindakan sewajarnya oleh SPR.

“Mereka ini adalah orang yang diberi amanah untuk memastikan perjalanan pilihanraya berlaku secara adil dan bersih namun tidak mustahil SPR gagal berfungsi membersih daftar pemilih disebabkan mereka ini adalah ahli Umno sebagaimana didedahkan sebelum ini.

“TERAS juga menggesa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan kerana terbukti jahil berkaitan isu senarai nama pengundi yang meragukan Ssehingga menyebabkan rakyat terpaksa berhimpun memprotes sebagaimana himpunan BERSIH lalu,” katanya lagi.

SELANGORKU/-

Tiada ulasan: