21 Rejab 1433H. [MOD] -
RANTAU PANJANG: “Himpunan Janji Tun Razak Dimungkiri Anaknya” dicadang diadakan di Kelantan dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui janji-janji Tun Razak Hussien dipersia-siakan anaknya sendiri.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, rakyat Kelantan perlu didedah terhadap keengganan anak Tun Razak membayar royalti petroleum kepada Kelantan.
“Himpunan tersebut perlu diadakan untuk mendedahkan lebih meluas kepada masyarakat tentang penyelewengan dilakukan seorang anak kepada janji bapanya sendiri.
“Kita kena dedah dan hebohkan penyelewengan yang dilakukan mereka sehingga ke akar umbinya,” katanya ceramah perdana di Pusat Tarbiyah PAS Rantau Panjang malam semalam.
Turut hadir Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, timbalannya, Datuk Nasruddin Daud, Naib YDP, Mohamad Awang dan anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Pada 10 November tahun lepas kerajaan Kelantan menyerahkan kenyataan Tun Razak Hussein di Dewan Rakyat mengenai hak Kelantan ke atas royalti minyak kepada seorang menteri kabinet sebagai mewakili perdana menteri.
Ketika itu Tun Razak memberitahu royalti perlu dibayar walaupun minyak ditemui di luar pesisir seperti terkandung dalam Akta Petroleum 1974. Jawapan itu sebagai menjawab soalan anggota parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena berkata, perhimpunan seperti itu boleh dijadikan penggerak utama dalam usaha menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Beliau turut melahirkan rasa yakin kemampuan kerajaan Kelantan menyiapkan lebuh raya rakyat tanpa tol antara Kota Baru-Kuala Krai sepanjang 73 km.
Menurutnya projek berkenaan tidak boleh lagi diharapkan kepada Umno memandangkan ia tidak dilaksanakan biar pun sudah dijanjikan sejak 1986.
“Serupalah apa yang diungkitkan pada tahun 1960-an mengenai kemampuan kerajaan PAS ketika di bawah Datuk Mohd Asri Muda mahu membina jambatan Sultan Yahya Petra.
“Ketika itu ada pemimpin Umno memberitahu akan berlari berbogel di atas jambatan terbabit kalau berjaya disiapkan. Tapi setelah jambatan berkenaan siap, tak ada seorang pun yang lari berbogel di situ.
“Sekarang bila lebuh raya Kota Baru-Kuala Krai siap nanti siapa pula pemimpin Umno yang akan berlari sambil berbogel. Saya boleh sifatkan mereka seperti bermulut longkang,” katanya.
Pada ceramah itu Mahfuz turut mencabar Najib berdebat dengannya memandangkan Perdana Menteri enggan berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau tak mahu berdebat dengan Anwar dengan saya pun tak apa supaya rakyat dapat nilai apakah Perdana Menteri seorang yang benar-benar bijaksana,” katanya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan