21 Rejab 1433H. [MOD] -
KAMPUNG RAJA – Seorang pekebun getah ditemui mati oleh abangnya di pekarangan rumah adiknya di sebuah kebun getah di Kampung Kelubi Putih, dekat Jabi di sini malam kelmarin.
Mangsa Chua Kho Leng, 49, mati dalam keadaan terlentang memakai hanya seluar pendek dengan kesan cedera di bahagian belakang kepala.
Kematian mangsa hanya disedari abangnya yang berkunjung ke rumah itu ketika ingin menghantar barang yang dipesan mangsa.
Abang mangsa, Chua Kor Seng, 54, berkata, adiknya yang masih bujang tinggal di rumah itu berseorangan bagi menjaga kebun getah bapa mereka.
Menurutnya, dia dan isteri yang menetap di Kota Bharu, Kelantan berkunjung ke rumah adiknya kira-kira pukul 9 malam kelmarin dan apabila tiba di rumah itu mendapati“Saya mula tidak sedap hati apabila mendapati pintu utama rumah terbuka tetapi lampu tidak dibuka dan tiba-tiba lampu kereta saya tersuluh mayat adik saya dalam keadaan terlentang di atas simen dalam keadaan sudah keras,” katanya yang dijumpai di pekarangan Bilik Mayat Hospital Besut semalam.
Kor Seng akan datang ke rumah mangsa apabila adiknya memesan apa –apa barang dan kali terakhir dia bercakap dengan mangsa melalui telefon pada Jumaat lalu.
Menurutnya, adiknya tidak pernah mengadu sakit atau memberitahu menghidap sebarang masalah kesihatan.
“Sebaik menemuinya, saya terus menghubungi talian 999 dan apabila pasukan perubatan datang mengesahkan dia telah meninggal dunia,” katanya.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Cina, Kota Bharu dipercayai meninggal dunia sekitar jam 10 hingga 11 pagi hari sama.
Menurutnya, pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati kesan luka dan calar pada bahagian belakang kepala serta terdapat pendarahan keluar melalui telinga, Kamaruddin berkata, siasatan awal turut mendapati tidak sebarang unsur jenayah terhadap kematian mangsa kerana tidak ada barang milik mangsa yang hilang dan polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat serangan jantung sebelum terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak pada bucu lantai simen,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan