21 Rejab 1433H. [MOD] -
Banyak pihak mengalu-alukan pengumuman Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, pada 6 Jun lalu, bahawa kabinet meluluskan cadangan Kementerian Penerangan mengenai akses media semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Berita Harian dalam laporan muka depan melaporkan, semua parti politik yang bertanding pada PRU13 akan diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen.
Dr Rais berkata, perkara itu diputuskan setelah kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan "akses sama rata" diluluskan jemaah menteri.
"Oleh kerana hujah kita adalah berasas kepada Perkara 10 Perlembagaan berhubung hak dan kebebasan bersuara, maka kertas kabinet yang dibentangkan itu telah diterima," tambahnya.
Bagaimanapun, pada 7 Jun, Dr Rais berkata, had masa dan butiran terperinci mengenai peraturan dan syarat yang perlu dipatuhi setiap parti politik yang ingin berbuat demikian akan dikeluarkan selepas pembubaran Parlimen.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai bentuk garis panduan berkenaan termasuk dari segi masa bagi memberi keadilan kepada semua parti.
Sebagai aktivis media yang turut memperjuangkan isu ini sejak sekian lama, saya cuba melihat dari sisi positif pengumuman awal Dr Rais itu, sambil mengharapkan ia satu "pembaharuan politik" pentadbiran Najib Razak, selaras proses pendemokrasian yang rancak berjalan di seluruh dunia, sekali gus mewujudkan "padang sama rata" sistem pilihan raya kita.
Sebelum ini, Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, tanpa menyentuh isu-isu kritikal seperti konsep permit, peraturan penerbitan yang tidak masuk akal (apatah lagi membabitkan organ parti seperti Harakah), dan dasar pemilikan media.
Tentulah "perubahan kosmetik" itu dikira belum menyentuh persoalan asas yang menjadi pertikaian dalam perbincangan isu-isu utama berkaitan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun saya tetap melihatnya sebagai langkah positif yang memerlukan pengukuhan lebih konkrit.
Umum maklum, Bersih 3.0, yang memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan bersih menjadikan agenda membebaskan media sebagai salah satu daripada lapan perkara yang dituntutnya.
Sejak merdeka, selepas melalui 12 pilihan raya umum, parti-parti saingan kepada Perikatan dan kemudiannya BN, bukan saja "digelapkan" berita mereka, tetapi menjadi mangsa putar belit media.
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah dianugerahkan sebagai "musuh kebebasan akhbar", selama beberapa tahun, oleh badan pemantau media antarabangsa.
Sejak beberapa bulan lalu, saya bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), agak kerap menggesa agar tuntutan akses media (dan tempoh kempen minimum 21 hari) dipandang serius dan diperjuangkan bersungguh-sungguh, bersama tuntutan-tuntutan lain, yang dianggap lebih utama, seperti membersihkan senarai daftar pemilih.
Malah, KAMI telah menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, di Hotel Nouvelle, pada 12 Mei, dihadiri lebih 100 orang, dengan penalis seperti bekas Ketua Pengarang New Straits Times, A Kadir Jasin; Naib Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar; kolumnis Hishamuddin Rais; pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah dan Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan.
Segera saya teringat saranan V Anbalagan dalam program sehari itu, agar media yang dibiayai dana awam, misalnya RTM dan Bernama (Kadir menambah Jabatan Penerangan), selepas Parlimen dibubarkan, tidak lagi boleh dikendalikan Kementerian Penerangan, tetapi diurus selia oleh satu badan bebas.
Pemimpin Umno-BN selalunya tidak dapat membezakan antara aset kerajaan dengan milik parti. Sebagai parti yang turut bertanding untuk merebut dan mempertahankan kuasa, pemimpinnya menjadikan segala kemudahan kerajaan, khususnya agensi strategik seperti RTM, sebagai jentera parti.
Lebih menyedihkan apabila siaran TV swasta, misalnya di bawah kumpulan Media Prima, seperti TV3, lebih bertindak sebagai perkakas propaganda BN. Berdepan PRU13, TV3 diberi kepercayaan tinggi oleh penasihat media Najib untuk menyempurnakan pelbagai kempen awal BN. Lihat saja program "Jelajah Janji Ditepati" dan usaha sama TV3 dengan kerajaan-kerajaan negeri tertentu; semuanya sarat dengan kepentingan politik Umno.
Apa pun, Dr Rais tidak perlu menunggu sehingga pembubaran Parlimen untuk mengumumkan syarat dan kondisi "akses media sama rata itu". Sepatutnya sudah ada rundingan dengan semua parti, yang dikendalikan badan lebih bebas, seperti saranan Anbalagan itu.
Ada yang mencadangkan, selain hebahan manifesto, perlu dianjurkan satu debat siaran langsung TV, membabitkan PM Najib dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Seorang pembaca Harakah mengirim SMS kepada saya: "Jika debat itu berlaku, seperti slogan lagenda tinju Muhamad Ali, "When I move, the world stop", seluruh negara akan terpukau nanti."
Ada yang bertanya, berapa lama masa yang bakal diperuntukkan buat parti-parti yang bertanding? Apakah tempoh itu berkadaran kepada jumlah calon bagi setiap parti? Adakah ia disiarkan pada waktu puncak? Apabila Rais merujuk kes di England, dengan mendakwa BBC memberi sekitar 10 ke 15 minit untuk menyiarkan manifesto parti-parti, apakah beliau cuba membayangkan tempoh sama juga bakal diberikan?
England merupakan negara yang mengamalkan kebebasan media sepenuhnya. Sedangkan di Malaysia, semua stesen TV -- termasuk Astro Awani yang kelihatan cuba lari daripada tradisi usang RTM dan TV3 -- dikuasai elit penguasa, yang boleh diarah sesuka hati oleh Pejabat Perdana Menteri, apatah lagi dalam saat kritikal PRU13.
Bagi saya, sebenarnya BN langsung tidak memerlukan slot khas itu pun. Sebaik saja Parlimen dibubarkan, semua stesen TV beroperasi seperti BILIK GERAKAN KEMPEN BN. Tetamu yang diundang untuk program bual bicara pastinya bertindak seperti jurucakap Umno-BN. Tengoklah nanti, daripada sejam siaran Buletin Utama TV3, lebih separuh akan dimonopoli propaganda kempen BN sambil menyerang tanpa batas Pakatan Rakyat, malah lebih buruk cuba memutar-belitkan fakta.
Kepada BN, jika diperuntukkan tempoh 5 minit untuk kempen menjelaskan secara rasmi manifesto itu, malah pada waktu larut malam pun, ia sudah lebih daripada cukup,' kan? Bukankah semasa pelancaran manifesto BN sendiri, semua stesen TV akan membentangkannya dengan lengkap dan sempurna? Ya, BN tak memerlukan pun slot itu! (Dan jangan lupa, setiap tahun, perhimpunan agung Umno akan disiarkan secara langsung, bukan saja oleh RTM, tetapi juga TV3, terutama semasa ucapan perasmian dan majlis penutup)
Sepintas lalu, berdasarkan laporan media, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyambut baik keputusan kerajaan itu. Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz turut mengalu-alukan kesediaan kerajaan, tetapi mahu ia dilakukan berterusan bukan hanya musim pilihan raya semata-mata.
"Selain manifesto, PAS mencadangkan semua parti dibenarkan berkempen setengah jam sehari selepas Parlimen dibubarkan sehinggga pilihan raya," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Saya sendiri mengharapkan tuntutan akses media sama rata ini dapat diperbahaskan dengan lebih menyeluruh lagi selepas pengumuman dr Rais itu.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan