21 Rejab 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) mencabar Kerajaan Pusat agar tidak mengambil wang cukai daripada kerajaan negeri Selangor jika tidak mahu membantu rakyat Selangor.
Beliau berkata, pendidikan percuma mampu dilaksanakan sekiranya segala sumber cukai rakyat negeri Selangor tidak disalurkan kepada Kerajaan Pusat sebaliknya diuruskan dengan lebih baik oleh kerajaan negeri.
“Jika dilihat, negeri Selangor menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan Kerajaan Pusat.
“Walaupun urusan universiti ini di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, namun jika kita diberi peluang mengurus sumber dan hasil yang diperolehi sendiri, maka kita dengan senang hati akan melaksanakan dasar pendidikan percuma di negeri ini,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Kejohanan Etiqa Selangor International Junior Masters 2012 di Kelab Golf Seri Selangor petang semalam.
Ujar Khalid lagi “Sebelum isu ini ditimbulkan, kita memang sudah ada rancangan untuk menggunakan aset-aset Unisel bagi tujuan penambahbaikan prasarana, pembesaran dan sebagainya.
“Sebab itu kita pantas menyediakan pelan tindakan jangka pendek bagi membantu ibubapa dan pelajar jika PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) meneruskan rancangan pembekuan pinjaman terhadap pelajar baru Unisel kerana kita mempunyai aset yang cukup untuk tujuan itu.
“Bagaimanapun, dengan pengumuman terbaru penarikan pinjaman itu, kita rasakan adalah lebih baik aset yang ada digunakan untuk pelan jangka panjang pembangunan Unisel dengan harapan lebih ramai lagi pelajar dapat kita beri tempat di masa hadapan,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, Abdu Khalid juga enggan mengulas lanjut cabaran Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk Kerajaan Negeri menyediakan dana RM30 juta seperti diumumkan.
Abdul Khalid dengan sinis meminta pimpinan Umno-BN belajar dahulu cara menguruskan dana rakyat.
“Barangkali Kerajaan Pusat tidak mengajar mereka untuk menguruskan dana rakyat dengan betul dan amanah serta berintegriti.
“Jadi adalah lebih baik mereka diam sahaja dan cubalah belajar untuk menjadi pemimpin yang sebenar dalam memastikan setiap dana yang dibelanjakan itu berbaloi bagi setiap sen dan bukan disia-siakan seperti yang sering dilakukan mereka,” kata beliau.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan