21 Rejab 1433H. [MOD] -
PORT DICKSON - Strukturnya terbina kukuh tidak menyembah bumi walaupun dihentam badai laut, namun manfaatnya tiada.
Deretan bangunan terbiar dan terbengkalai yang dapat dilihat di sepanjang Pantai Telok Kemang melakarkan pemandangan kurang cantik bagi setiap pengunjung ke bandar peranginanyang terkenal ini.
Malah ada yang memandang sinis kerana bentuk yang kurang sempurna itu masih dikekalkan tanpa sebarang usaha untuk dibangunkan bagi memajukan lagi industri pelancongan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abd Wahab Shamsuddin berkata, bangunan terbengkalai atau bangunan tinggal di bawah penguasaan MPPD adalah tertakluk kepada Akta Bangunan dan Parit yang mensyaratkan agar pemilik atau pengusaha bangunan tersebut memagar dan membersihkan kawasan itu, termasuk juga jaminan keselamatan.
“Rekod juga menunjukkan semua pemilik bangunan, terutama di sekitar Telok Kemang, yang tujuan asalnya bagi pembinaan hotel dan apartmen adalah ‘bersih’, di mana mereka mematuhi akta yang telah dikuatkuasakan, selain membuat pembayaran cukai tanah dan cukai bangunan kosong.
“MPPD tiada kuasa mutlak untuk mengeluarkan arahan agar pemaju atau pemilik memajukan semula bangunan terbengkalai mereka dan sebagainya, selagi mereka patuh kepada akta dan membayar cukai,”katanya.
Zaman gawat beri kesan
Sinar Harian difahamkan, bangunanberkenaan tergendala pembinaannya, dipercayai sewaktu zaman kegawatan ekonomi sekitar 1990-an. Malah terdapat juga sebuah hotel yang satu ketika dahulu menjadi hotel terkenal di daerah ini, tetapi ditutup dan terbiar sehingga kini.
Abd Wahab berkata, selain bangunan terbengkalai, ada juga bangunan yang siap, namun tidak dapat diurus dengan baik dan ada bangunan apartmen yang telah siap dan terjual setiap unitnya, namun terbengkalai berikutan tiada Sijil Layak Menduduki (CF).
“Contohnya, ada sebuah apartmen, sewaktu rancak pembinaannya, pemaju mendapat CF sementara kerana ia dibangunkan mengikut fasa dan mendatangkan kepercayaan kepada pembeli untuk mereka memiliki unit di situ.
“Namun akibat kegagalan pemaju membina longkang utama, menafikan haknya untuk mendapat CF penuh dan sekarang ia tiada pihak pengurusan, malah banyak unit yang ditinggalkan pemilik dan ada dilelong bank. Sebahagian besar pemilik unit apartmen juga dikesan gagal melangsaikan cukai taksiran,” katanya.
Nilai tunggakan unit apartmen cecah RM9 juta
Menurutnya , nilai tunggakan bagi kategori unit apartmen, termasuk juga di beberapa bangunan apartmen lain di daerah ini mencecah RM9 juta dan mereka yang gagal melangsaikan tunggakan tersebut akan dibawa ke mahkamah bagi tindakan undang-undang.
“Rekod juga menunjukkan terdapat tanah dan bangunan terbengkalai yang diambil oleh Kerajaan Negeri kerana pemiliknya gagal membayar cukai tanah,” katanya. Sementara itu, Abd Wahab berkata, sekurang-kurangnya tiga hotel baru sedang dalam perancangan dan pembinaan di Port Dickson yang akan terus merancakkan lagi sektor pelancongan Negeri Sembilan amnya.
“Pada hujung minggu atau cuti persekolahan, Port Dickson secara keseluruhannya setiap hari menerima kunjungan pelancong hampir 50,000 orang. “Kita mempunyai 66 hotel dan hampir 10,000 apartmen. Daripada jumlah ini, ia nyata tidak mampu menampung kunjungan puluhan ribu pengunjung, lantas sebarang pembangunan yang mengekalkan ciri kehijauan alam semula jadi sangat digalakkan dan dialu-alukan.
“Malah pemilik bangunan terbengkalai atau bangunan tinggal disarankan supaya memikirkan cara untuk memajukan semula bangunan tersebut ,” katanya.
sinar harian/-
1 ulasan:
Assalamualaikum tuan....benar apa yang disiarkan oleh tuan. Mungkin pemaju atau pemilik perlu mencari idea. Saya menetap di Port Dickson selepas bersara dari ATM. Saya hanya ada idea namun tiada yang boleh bantu jika hanya ada idea.
Catat Ulasan