21 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - Gara-gara memiliki senjata berbahaya, seorang penganggur terpaksa meringkuk di dalam penjara selama setahun dan dikenakan satu sebatan
selepas mengaku bersalah atas kesalahan tersebut.
Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Asliza Nazran Ramly, 40, kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya tahun 1958.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 2 Jun lalu kira-kira jam 10.15 malam, Asliza Nazran didapati bersalah memiliki parang pendek berhulu hitam dan keris dibalut menggunakan keratan akhbar di sebuah rumah yang beralamat 734 Batu 2 di Jalan Kuala Krai.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh dan waktu yang sama Asliza Nazran didapati gagal mengemukakan kad pengenalan (Mykad) kepada pegawai kanan polis semasa melakukan pemeriksaan terhadapnya di rumah tersebut.
Oleh itu, dia yang berasal dari Kampung Puteh Batu 2, Jalan Kuala Krai, didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum di bawah peraturan sama.
Mengikut hukuman tersebut dia boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000.
Bagi kesalahan tersebut mahkamah menetapkan Asliza Nazran dihukum penjara selama tiga bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 3 Jun lalu.
Kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap.
Sebelum tangkapan dilakukan sekumpulan anggota dan pegawai polis dalam penugasan Ops Lejang ke rumah tersebut selepas menerima maklumat.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan