23 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang penganggur menjadikan parang miliknya sebagai ‘teman pelindung’ mempertahankan diri terutama ke lokasi awam mengundang padah setelah didenda RM1,500 atau di penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Sulaiman Ismail, 20, dari Kampung Chalok Barat, Bandar Permaisuri, Setiu, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sebelum itu, Sulaiman mengaku pada 8 Julai lalu kira-kira jam 2 petang bertempat di tempat parkir hadapan Tokong Cina, Kampung Tiong, di sini, telah membawa dua bilah parang yang merupakan kesalahan di bawah Jadual Kedua (Seksyen 2 dan 12).
Bagi kesalahan berkenaan, Sulaiman boleh di penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Razatul manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis daripada Balai Polis Kuala Terengganu telah menjalankan Rondaan Mencegah Kegiatan Dadah/Jenayah di sekitar kawasan pentadbiran balai berkenaan.
Setibanya di lokasi kejadian, anggota terserempak sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna hitam yang hanya mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian belakang parkir di hadapan Tokong Cina Kampung Tiong, di sini.
Melihatkan keadaan yang mencurigakan itu, anggota bertugas menghampiri kereta tersebut dan telah mendapati ada dua orang lelaki di dalam kereta berkenaan yang mana Sulaiman ketika itu sedang duduk di hadapan tempat duduk di sebelah pemandu.
Setelah mengetuk cermin kereta dan memperkenalkan diri, kedua-dua mereka di-periksa dan hasil pemeriksaan selanjutnya, anggota berjaya menjumpai dua bilah parang bercetak Bidor berhulu plastik warna hitam dan sebilah lagi parang bercetak Lee berhulu plastik berwarna hitam yang diletakkan di atas lantai bawah alas kaki bahagian bawah tempat duduk bahagian pemandu.
Hasil soal siasat Sulaiman mengaku kedua-dua senjata tajam itu miliknya dan seterusnya dia bersama rakannya itu di bawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan