13 Julai 2012

Ejen hartanah hilang ditemui mati

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Mayat seorang lelaki Cina ditemui dalam keadaan separuh bogel di dalam semak berhampiran sebuah sungai di Ara Damansara petang semalam dipercayai ejen hartanah Tang Yong Ching, 45, yang dilaporkan hilang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata mayat tersebut yang mempunyai beberapa kesan cedera di bahagian badan ditemui polis atas maklumat tangkapan dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan Tang sejak Khamis lepas.

Polis percaya mangsa telah dibunuh berikutan kesan kecederaan di badan mangsa, walau bagaimanapun punca kematian masih belum diketahui, katanya malam tadi.

Arjunaidi berkata, polis menahan dua suspek yang dipercayai warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan Tang.

"Tangkapan pertama dibuat pada Sabtu lepas ke atas suspek berusia 25 tahun yang cuba menggunakan kad debit milik mangsa. Suspek telah masuk ke negara ini sebagai pelajar tetapi bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan Damansara," katanya.

Beliau berkata, tangkapan suspek kedua pelajar berumur 20 tahun dibuat petang tadi di Petaling Jaya yang membawa kepada penemuan mayat itu.

Polis juga telah menemui kereta Toyota Innova milik Tang hasil maklumat suspek kedua itu, katanya.

Beliau berkata, dari maklumat yang diperoleh dari kedua-dua suspek, Tang dipercayai dibunuh berikutan kes perniagaan hartanah yang turut melibatkan ejen hartanah lain.

Kedua-dua suspek akan ditahan reman hari ini, katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Tang telah dilaporkan hilang oleh isterinya Ng Mooi Ning apabila suaminya tidak pulang ke rumah selepas keluar dari rumahnya di Ara Damansara pada petang Khamis lepas untuk bertemu pelanggan. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: