13 Julai 2012

Pencuci kolam didakwa pukul bekas kekasih

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang pencuci kolam renang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memukul bekas kekasihnya dengan topi keledar, 4 Julai lalu.

Ashli Huzaine Mat, 32, dituduh mencederakan Nor Azlina Md Nawi, 25, di sebuah kedai di Jalan Pasir Puteh di sini, pada jam 11 pagi, tarikh berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan di dahi mangsa.

Berikutan tuduhan itu, dia boleh dijatuhi hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau manamana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Pada prosiding di hadapan Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Dia kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan bersambung pada 4 September depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: