13 Julai 2012

Kaji semula syarat undi pos rakyat di luar negara

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya rakyat Malaysia di luar negara pulang ke tanah air supaya tahu perkembangan politik di tanah air dilihat seolah-olah memandang rendah keupayaan mereka dalam mengetahui politik semasa.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta SPR mengkaji semula usul membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi pos dengan syarat mesti berada dalam negara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.

Tujuan SPR bagi memastikan rakyat Malaysia di luar negara tahu perkembangan politik di tanah air.

“Bagi DPPWP, tujuan tersebut adalah tidak relevan sekiranya perlu ada di dalam negara sekali dalam tempoh 5 tahun semata-mata untuk memastikan rakyat Malaysia di luar negara tahu perkembangan politik tanah air,” ujar Ketua Pemuda DPPWP, Kamaruzaman Mohamad.

Katanya, dunia kini merupakan dunia yang berteknologi maklumat di seluruh dunia terdapat di hujung jari setiap manusia.

Beliau menambah, rakyat Malaysia boleh mengetahui perkembangan tanah air hanya perlu dengan melayari internet sahaja.

“Pelbagai maklumat boleh didapati. Apatah lagi kebanyakan suratkhabar kini menggunakan internet sebagai medium penyebaran berita mereka,” katanya lagi.


Justeru, ujarnya syarat SPR supaya rakyat Malaysia di luar negara pulang ke tanah air supaya tahu perkembangan politik di tanah air dilihat seolah-olah menganggap mereka ini duduk di bawah tempurung.

DPPWP, katanya percaya rakyat Malaysia di sana sentiasa mengambil berat situasi di Malaysia melalui pebagai medium.

“Apakah sekiranya mereka ini tidak mengetahui situasi politik, mereka kehilangan kelayakan mengundi yang sememangnya wajib untuk setiap rakyat Malaysia?

“Apakah SPR boleh mengetahui bagaimana seseorang itu tahu atau tidak perkembangan politik di Malaysia?” tanya beliau.

Bagi DPPWP, ujar Kamaruzaman cukuplah sekadar rakyat Malaysia di luar negara mendaftar undi sahaja bagi membolehkan mengundi pos.

Tambahnya lagi, tidak perlu menyusahkan mereka dengan menetapkan syarat tersebut.

Katanya, tugas SPR sepatutnya memudahkan setiap rakyat Malaysia untuk mengundi bukan menyulitkan mereka.

“SPR juga dilihat semakin tidak relevan dengan cadangan-cadangan yang tidak munasabah.

“Sepatutnya SPR bertindak dengan memperbaiki kepincangan asas sistem pilihan raya seperti yang dibangkitkan Bersih,” ujarnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: