13 Julai 2012

KM bangga kerjasama dengan TYT Pulau Pinang

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG: Pulau Pinang bertuah mempunyai seorang Yang Dipertua Negeri (Gabenor) yang dapat bekerjasama merealisasikan matlamat kerajaan Pakatan Rakyat walaupun Tun Datuk Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman Abas berlatar belakangkan Umno, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

(Pelancaran buku TYT Pulau Pinang semalam)

Sikap profesional beliau itu membolehkan perjalanan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat lincin serta mencapai matlamat ke arah negeri yang maju dan berstrateji terhadap pembangunan melibatkan semua aspek.

"Pulau Pinang bertuah mempunyai seorang Yang Dipertua yang bertanggungjawab, prihatin dan lebih penting ialah dapat bekerjasama dengan baik terhadap dasar Kerajaan Negeri yang baru walaupun semua orang tahu beliau berlatar belakangkan politik Umno.

"Itulah yang patut dicontohi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dari pembangkang sebab apa yang diperbuat oleh Kerajaan Negeri sekarang bermatlamat menyelamatkan rakyat dari
terus tertindas, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan sempena pelancaran buku sejarah hidup TYT serta meraikan sambutan hari lahirnya di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Seberang Jaya semalam.

Bagi Lim, sikap profesional yang ditunjukan oleh beliau amat membanggakan Kerajaan Negeri kerana sepanjang perkhidmatan bersama Pakatan Rakyat beliau tetap memberikan komintmen dan padangan yang bernas demi rakyat tercinta.

Kerajaan Negeri sendiri tambahnya, begitu senonim dengan Tun maka bila sampai tempoh berakhir perkhidmatan sebagai Yang Dipertua, Kerajaan Negeri terus menamakan beliau untuk menyambung perkhidmatan sehinggalah sekarang.

Kematangan beliau berfikir jelasnya, dapat membantu Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengurangkan kontroversi tidak sepertimana yang selalu dibuat oleh individu dari kalangan parti lawan.

"Kita begitu senang dengan perkhidmatanya maka tidak hairan namanya terus diangkat sebagai Yang Dipertua Negeri beberapa
tahun.

"Beliau juga berupaya menasihati Kerajaan Pakatan Rakyat ketika ucapan dipersidangan Dewan Undangan Negeri agar mendekati rakyat dengan program kebajikan. Saranan itu kita ambil perhatian, " terangnya lagi.

Buku setebal 152 mukasurat itu diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang (PPAPP) sebagai penghargaan jasa dan pengorbanannya yang tidak terhingga sebagai Gabenor.

Pengisahan buku tersebut mencangkupi dunia kanak-kanak yang sering ke sawah menangkap ikan bersama rakan-rakan, zaman persekolahan, zaman remaja, menceburi bidang politik, bidang penulisan, kegemaran dan sehinggalah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PPAPP, Datuk Saleh Man, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Husein, Pengarah PPANPP, Puan Shukriah Yon, Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Jait, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Ching Tong dan ramai lagi pegawai kerajaan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: