13 Julai 2012

Suami isteri nyaris maut terperosok bawah treler

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

BATANG KALI - Sepasang suami isteri nyaris digilis treler setelah kereta dinaiki dirempuh ketika berhenti di bahu jalan dan terperosok di bawah treler sebelum diseret sejauh 30 meter.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa, Mahmmud Ahmad, 58, dan isteri, Norizan Shahinan, 55, terselamat dan berjaya keluar daripada kereta jenis Proton Wira dinaiki.

Kejadian kira-kira jam 11.40 pagi semalam itu berlaku di hadapan sebuah restoran dekat Masjid As Sajidin di sini apabila mangsa dikatakan berhenti untuk membeli durian.

Anak mangsa, Suhaizad Mahmmud, 33, yang ditemui di tempat kejadian berkata, ibu bapanya terkejut apabila secara tiba-tiba dirempuh treler tanpa muatan yang datang daripada belakang.

“Mereka berhenti nak beli durian tapi tiba-tiba dirempuh dari tepi sebelah kanan lalu diseret sejauh 30 meter sehingga terperosok di bawah treler.

“Tapi syukur mak dan ayah selamat dan hanya cedera ringan,” katanya.

Menurutnya, ibu dan bapanya mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum membuat laporan polis.

Ibu dan bapanya datang daripada rumah mereka di Rasa dan dalam perjalanan ke Batang Kali sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, berdasarkan maklumat rakannya yang berada beberapa meter di belakang treler terbabit, kenderaan itu dilihat membrek dan terhuyung-hayang sebelum merempuh kereta ibu bapanya.

“Treler itu dikatakan baru pulang daripada menurunkan muatan makanan lembu di Kalumpang.

“Walaupun cuba membrek tetapi pemandunya gagal mengelak kereta mak dan ayah saya,” katanya.

Selang sejam kemudian, kira-kira 200 meter dari tempat kemalangan itu, tiga kenderaan berlanggar sesama sendiri dipercayai gagal mengelak kenderaan di hadapannya yang tersekat dalam kesesakan akibat kejadian itu. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: