13 Julai 2012

Hakim Nyanyi Bersama Peguam Kena Pecat

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

BALI: Sebuah jawatankuasa kehakiman pada Selasa memecat seorang hakim kerana mengambil bahagian dalam beberapa sesi karaoke dengan peguam mewakili plaintif yang dibicarakan oleh beliau.

Hakim Mahkamah Daerah Denpasar, Putu Suika, dipecat oleh jawatankuasa sementara itu kerana melanggar Kod Kelakuan Hakim. Kod itu melarang hakim terbabit secara peribadi dengan peguam dan pihak yang kesnya didengar di mahkamah mereka.

Putu yang dijadualkan bersara pada 2013, mengaku bertemu dengan peguam bela berkenaan, Irfan, sebanyak tiga kali untuk berkaraoke di rumahnya.

“Cuma, saya hanya mengambil bahagian selepas kes itu selesai. Apabila saya berpindah ke Denpasar saya ada berhutang wang dengan Irfan tetapi ia tiada mengena dengan kes itu,” katanya kepada jawatankuasa itu.

Tetapi, jawatankuasa berkenaan kemudian bertindak memecatnya kerana menolak penjelasan beliau, lapor agensi berita Antara.

Jawatankuasa berkenaan membabitkan anggota Suruhanjaya Kehakiman dan Mahkamah Agung. “Anda langgar kod kelakuan. Perbuatan itu menyebabkan anda cenderung campur tangan dalam proses penghakiman,” kata hakim Mahkamah Agung dan anggota jawatankuasa, Sri Murwahyuni.

Jawatankuasa itu tidak memberi maklumat terperinci mengenai kes yang dibicarakan Putu.

Bagaimanapun, ketika sesi keterangan, Putu dikatakan bertindak berat sebelah dan menyebelahi plaintif, yang diwakili Irfan tanpa berunding dengan anggota hakim lain.

“Keputusan itu tidak menurut Prosedur Kod Jenayah. Adakah anda membuat kod prosedur sendiri?” kata hakim Mahkamah Agung dan seorang lagi anggota jawatankuasa, H M Zaharuddin.

Pengerusi jawatankuasa, Djaja Ahmad Jayus, berkata ia bukan kesalahan pertama Putu.

“Putu adalah timbalan ketua Mahkamah Daerah Palangkaraya tetapi beliau diturunkan pangkat menjadi hakim biasa di Mahkamah Daerah Mataram selepas rakyat menuduh beliau menyalahguna sebuah kereta,” kata Djaja. -AFP

Tiada ulasan: