28 Ogos 2012

Bakal pengantin nyaris maut

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinan terpaksa menerima tujuh jahitan di mulut setelah terbabit kemalangan di KM25.5 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran simpang masuk Jalan Suara, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kereta jenis Proton Saga yang dipandu, Mohamad Fariz Mohamad Idris, 25, dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Klang dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mahu mengelak anjing sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Inspektor Roslan Ismail ketika ditemui berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Rantau Panjang, Klang itu dilaporkan turut mengalami kecederaan pada pergelangan kaki.

"Akibat pelanggaran itu, kereta yang dipandu mangsa kemudiannya terbalik di bahu jalan dan menyebabkan lalu lintas perlahan dan keadaan jalan ketika itu lici dan hujan renyai-renyai," katanya.

Difahamkan, sebuah kemalangan lagi dilaporkan berlaku kurang seminit selepas kemalangan pertama apabila seorang pemandu di laluan sama gagal membrek sebelum melanggar belakang sebuah kenderaan di hadapannya.

Roslan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian dan mangsa sudah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor.

"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Roslan turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati lebih-lebih lagi di musim perayaan ini dan jangan memandu laju serta ingatlah orang yang tersayang yang menanti kepulangan anda dengan selamat," katanya

Sinar Harian

Tiada ulasan: