10 Syawal 1433H. [MOD] -
BERA – Seorang wanita maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 49, Jalan Temerloh - Kemasul – Bukit Mendi kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Mangsa, Sariah Tajul Mulop, 47, yang juga penumpang hadapan kereta jenis Perodua Kembara yang terbabas berikutan bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Waja yang gagal untuk memotong.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Yusof berkata, dalam kejadian itu, Proton Waja terbabit dipercayai cuba memotong dua kereta di hadapannya iaitu Proton Persona dan Kembara, namun terlalu cepat memasuki laluan kiri sehingga bergesel dengan bahagian depan Kembara.
Menurutnya, kereta Kembara dipandu suami mangsa, Shabudin Ibrahim, 65, hilang kawalan lalu terbabas ke tebing sebelah kiri jalan dan merempuh pokok kelapa sawit sebelum terbalik.
“Rempuhan kuat di bahagian kiri kereta itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki serta tangan kanan.
“Mangsa menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian, manakala suaminya pula mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Haji Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh,” katanya.
Katanya, mangsa turut dibawa ke Hoshas untuk dibedah siasat.
Zakaria berkata, ketiga-tiga kenderaan terbabit dipercayai dari arah Felda Kemasul menghala ke Triang.
Menurutnya, kereta Waja itu cuba memotong kereta jenis Proton Persona dan Perodua Kembara, namun dipercayai tersilap pengiraan untuk memasuki semula laluan kiri hingga terlanggar bahagian depan Kembara terbabit.
“Kereta Waja itu turut terlajak ke hadapan dan terbabas, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan. Begitu juga pemandu kereta Persona.
“Jalan di lokasi kejadian adalah lurus dan mempunyai garisan putus yang membolehkan pengguna memotong. Namun pemandu Waja dipercayai tidak lepas untuk memotong dengan betul,” katanya.
Beliau berkata, siasat lanjut berhubung kes itu masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan