10 Syawal 1433H. [MOD] -
BACHOK - Sejumlah 17 jenis ikan hiasan eksotik termasuk spesies Phirana dirampas dalam serbuan Pasukan Gerak Am (PGA) di sebuah rumah di Taman Rantau Jaya, Rantau Panjang, jam 7 malam, Sabtu lalu.
Hasil rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Pengarah Jabatan Negeri Perikanan Kelantan, Datuk Mohamad Mat Saman berkata, berdasarkan intipan yang dilakukan pihak PGA mendapati penyeludup membawa masuk ikan hiasan itu dari selatan Thailand melalui pengkalan haram Syed Agil, Rantau Panjang.
Ikan tersebut kemudiannya disimpan di sebuah rumah sebelum menunggu pengangkutan yang akan membawanya kepada pembeli atau pengedar.
“Kebanyakan spesies ikan ini adalah dari spesies eksotik yang jarang ditemui seperti barb, silver shark, betta, pacu, clarias, keli albino dan ikan larangan seperti Phirana yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM12,000.
“Kes ini diserahkan kepada kami di bawah Seksyen 61, Akta Perikanan 1985, mengikut Peraturan Perikanan (Larangan Import Eksport 1990), kerana membawa masuk ikan tanpa permit dan ikan larangan import eksport, “ katanya semalam dalam sidang media di Pengkalan Perlindungan Sumber Perikanan, Tawang, di sini.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut sebuah lori yang disyaki sebagai pengangkutan untuk memuatkan ikan tersebut turut dirampas.
“Ikan ini akan dilupuskan terutamanya Phirana yang menjadi ancaman dan perosak ekosistem perikanan memandangkan ia adalah spesies pemakan daging.
“Beberapa ikan yang bersesuaian akan digunakan untuk penyelidikan di Pusat Pengembangan Komuniti dan Akuakultur di Machang,” katanya.
Mohamad berkata, kes penyeludupan ikan hiasan eksotik ini sering berlaku berikutan permintaan dari pembekal dan peminat ikan hiasan.
“Semua ikan ini tidak diperolehi di Malaysia dan mempunyai nilai tinggi di pasaran. Kami tidak menolak kemungkinan laluan negeri ini adalah transit sebelum diedarkan ke negeri lain,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan