10 Syawal 1433H. [MOD] -
IPOH – Kegiatan licik dua warga asing dalam sindiket wang palsu tumpas selepas ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sekitar Ipoh, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, penangkapan warga Pakistan dan Lubnan tersebut adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pengurup wang lelaki tempatan yang serta merta mengesyaki wang yang ditukar adalah palsu.
Beliau berkata, polis kemudiannya menuju ke premis dan menahan dua suspek dan hasil pemeriksaan menjumpai 402 keping wang dominasi 1, 000 India Rupee pelbagai nombor siri yang disyaki palsu dalam sebuah beg hitam.
“Modus operandi mereka adalah pergi ke premis tukaran wang berlesen dan akan menukar wang palsu mata wang India kepada Ringgit Malaysia (RM).
“Wang palsu India yang digunakan suspek adalah berkualiti tinggi sehingga mangsa tidak dapat mengecam wang kertas itu adalah palsu kecuali mangsa mempunyai kemahiran mengenal wang palsu,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak, semalam.
Mohd Shukri berkata, setelah soal siasat ke atas dua suspek terbabit membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek di Kuala Lumpur.
“Kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan salah seorang suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah serta berumur antara 22 hingga 42 tahun.
“Mereka masih direman dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan