10 Syawal 1433H. [MOD] -
GEORGETOWN - “Berilah saya peluang untuk perbaiki hidup dan memulakan hidup baru Yang Arif,” demikian rayu seorang warga emas berusia 57 tahun.
Tertuduh, Sharifuddin Baharuddin kelihatan tenang merayu di dalam kandang tertuduh Mahkamah Majistret, semalam, selepas didapati bersalah mengambil dadah.
Menurutnya, yang berasal dari Kampung Pondok Hutan Pasir, peluang itu perlu diberikan memandangkan masih berada dalam bulan mulia dan juga waktu perayaan.
“Bagilah saya peluang itu dan kalau boleh saya hendak mengubah hidup saya kepada yang lebih baik Yang Arif.
“Saya merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan, saya amat berharap supaya hukuman ini adalah wajar,” katanya.
Tertuduh didapati bersalah mengambil dadah jenis morfin kira-kira jam 6.52 petang pada 12 Julai lalu.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh.
“Tertuduh juga akan dikenakan dua tahun tempoh pengawasan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.
Sebelum itu, tertuduh dan sahabatnya juga dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas kesalahan mengambil dadah jenis heroin.
Dia dan Lau Chua Eng melakukan kesalahan itu di sebuah bangunan kosong sekitar Jalan Pahang kira-kira jam 3.45 petang, 12 Julai lalu.
Mengikut fakta pertuduhan, kedua-duanya didapati melakukan kesalahan itu ketika berada di tingkat satu bangunan yang terbengkalai itu.
Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat dua paket dadah iaitu serbuk heroin dan juga beberapa kertas timah di atas lantai.
Kedua-duanya yang tenang dalam kandang tertuduh hanya mengangguk tanda mengaku salah dengan perbuatan berkenaan.
Noor Aini kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan terhadap kedua-dua tertuduh.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan